Ziarah Kasih PTPTN Santuni Keluarga Penjaja, Prihatin Masa Depan Pendidikan Anak

CYBERJAYA, 30 Sept – Kegigihan seorang penjaja orang kurang upaya (OKU) fizikal,, Zaim Zazami Ibrahim, mencari rezeki demi kelangsungan hidup keluarga mendapat perhatian menerusi Program Ziarah Kasih Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di tapak jualannya di sini.

Dalam kunjungan itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkesempatan melihat sendiri kehidupan serta cabaran yang dilalui Zaim Zazami bersama isteri dan anak kecilnya apabila turun padang dalam Program Ziarah Kasih, baru-baru ini.

Menerusi program berkenaan, PTPTN turut memberi perhatian kepada masa depan pendidikan anak tunggal Zaim Zazami, Zuyyin Kayyisa, 4, yang bakal memulakan alam persekolahan tahun depan.

Norliza yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata program berkenaan memberi peluang kepada PTPTN mendekati masyarakat, mendengar serta memahami cabaran yang dihadapi keluarga berkenaan.

“PTPTN memahami setiap keluarga mempunyai cabaran dan keperluan tersendiri. Menerusi Program Ziarah Kasih, kita bukan sahaja menyantuni masyarakat, tetapi turut mendekati, mendengar dan memahami keperluan mereka,” katanya.

PTPTN menghulurkan sumbangan CSR berjumlah RM1,000 dalam bentuk pembukaan akaun Simpan SSPN Prime sebagai permulaan tabung pendidikan Zuyyin.

Ujar Norliza, PTPTN sentiasa menggalakkan masyarakat menjadikan simpanan pendidikan sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga.

“Walaupun sumbangan ini kecil nilainya, kita berharap ia menjadi permulaan kepada tabung pendidikan Zuyyin serta memberi manfaat kepada keluarga ini,” katanya.

Menurutnya, Program Ziarah Kasih bukan sekadar menyantuni masyarakat, tetapi turut membuka ruang untuk PTPTN mendengar dan memahami keperluan keluarga yang diziarahi, selain menghulurkan sokongan bersesuaian.

“PTPTN sentiasa menggalakkan masyarakat menjadikan simpanan pendidikan sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO