Pemimpin UMNO Zahir Takziah, Hargai Sumbangan Tun Dr Siti Hasmah
KUALA LUMPUR, 28 Sept – Berita pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pagi ini mendapat perhatian pemimpin UMNO yang menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga.
Antara yang menzahirkan ucapan takziah ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendoakan agar roh Almarhumah mendapat rahmat dan keampunan Allah SWT.
“Semoga Allah rahmati dan ampuni roh Almarhumah YAB Tun Dr Siti Hasmah Ali, isteri Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut menyampaikan salam takziah kepada Tun Dr Mahathir selain menyifatkan pemergian Almarhumah sebagai kehilangan besar buat keluarga dan negara.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
“Semoga Tun Dr Mahathir dan keluarga dikurniakan kekuatan serta ketabahan menghadapi saat yang sukar ini,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir dan keluarga.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga atas kembalinya ke rahmatullah Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah serta ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pula menyifatkan Allahyarhamah sebagai tokoh perubatan dan kesihatan awam negara yang banyak menabur jasa serta bakti kepada masyarakat.
“Menerima khabar duka atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, tokoh perubatan dan kesihatan awam negara yang banyak menabur jasa dan bakti kepada masyarakat pada usia 100 tahun.

“Jasa serta sumbangan beliau, khususnya dalam bidang kesihatan ibu dan anak serta kebajikan masyarakat akan terus dikenang. Pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar buat keluarga dan seluruh rakyat Malaysia,” ujar beliau.
Sementara itu Ketua UMNO Negeri Sabah, Datuk Jafry Ariffin turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Beliau berkata UMNO Negeri Sabah menyampaikan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir dan seluruh keluarga serta mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah.
“Salam takziah atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
“UMNO Negeri Sabah merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah dan mengurniakan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan,” katanya lagi. – UMNO Online
