ASEAN Perlu Perkukuh Kesalinghubungan Untuk Jadi Lebih Terbuka, Bersepadu – Mohamad Hasan

NEW YORK, 28 Sept – ASEAN perlu terus memperkukuh kesalinghubungan antara negara anggotanya sebagai langkah ke arah membentuk sebuah rantau yang lebih terbuka dan bersepadu, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata Malaysia mempunyai hasrat untuk melihat ASEAN berkembang menjadi sebuah rantau yang lebih bebas dalam tempoh sekitar 10 hingga 12 tahun akan datang, termasuk meneroka pergerakan bebas rakyat seperti yang diamalkan di Kesatuan Eropah (EU).

“Kesalinghubungan di antara negara-negara ASEAN ini perlu berkesan,” katanya dalam satu sesi soal jawab semasa majlis ramah mesra bersama Diaspora Malaysia di sini Sabtu lepas.

Mohamad berkata walaupun hasrat itu belum dapat direalisasikan sepenuhnya dalam keadaan semasa kerana pelbagai dasar dan undang-undang yang berbeza antara negara-negara anggota, ia tidak harus menjadi penghalang untuk ASEAN kepada mencapai visi berkenaan.

Beliau berkata usaha itu perlu dilihat sebagai proses jangka panjang yang memerlukan persediaan dan perubahan secara berperingkat.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia perlu mempersiapkan rakyatnya, khususnya menerusi pengukuhan sistem pendidikan untuk generasi muda bagi menghadapi persaingan yang lebih luas dalam sebuah ASEAN yang lebih terbuka.

“Apakah kita telah bersedia ataupun kita telah menyediakan anak-anak Malaysia untuk bersaing dengan anak-anak daripada Singapura, Thailand, Filipina dan negara-negara ASEAN lain?” katanya.

Terdahulu dalam sidang media bersama media Malaysia, Mohamad berkata ASEAN perlu terus memainkan peranan sebagai kuasa pertengahan di kala ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi dunia.

Beliau berkata suara ASEAN kini semakin dinantikan masyarakat antarabangsa kerana kedudukannya sebagai sebuah blok yang kukuh, keupayaannya menyuarakan pendirian bersama yang lebih berkesan dalam isu global dan potensi ekonomi yang besar. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO