Persefahaman Bukan Bererti UMNO Serah Identiti, Prinsip – Syed Mohd Johan

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menegaskan persefahaman yang terjalin tidak bermakna UMNO perlu menyerahkan identiti dan prinsip.

Menjawab kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, beliau berpandangan keikhlasan amat penting untuk memastikan persefahaman dibina dapat mencapai matlamatnya.

“Kalau mahu berkawan, jangan tangan bersalaman tetapi kaki pula ‘daih’ kaki kawan. Saya kadang-kadang berasa kesal apabila perkara seperti ini berlaku.

“Sanusi berkata, ‘kami ikhlas, tetapi kami tidak bodoh’. Baik. Saya bersetuju bahawa jika mahu bekerjasama, keikhlasan itu penting. UMNO juga ikhlas. Namun, kami pernah melalui pengalaman Muafakat Nasional (MN) dan tahu bagaimana kesudahannya.

“Jadi, jika mahu memulakan semula kerjasama, biarlah hala tuju itu jelas dan prinsip setiap parti dihormati. Bersefahaman tidak bermakna UMNO perlu menyerahkan identiti dan prinsipnya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, UMNO telah membayar harga politik yang tinggi apabila memilih untuk berada bersama Kerajaan Perpaduan.

“Sanusi juga meminta UMNO belajar mengenai pengorbanan daripada Pas. Dalam hal ini, tidak perlulah mengajar UMNO mengenai pengorbanan. UMNO telah membayar harga politik yang tinggi apabila memilih untuk bersama Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan tanggungjawab kenegaraan.

“Walaupun berada dalam kerajaan yang turut melibatkan Dap, UMNO tetap bersuara mengenai kepentingan Melayu, Islam dan Bumiputera. Kami sedar bahawa ada sebahagian orang Melayu yang menjauh kerana keputusan tersebut. Pada ketika itu, Pas pula lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding usaha memastikan kestabilan negara.

“Sanusi turut meminta UMNO mempelajari cara Pas bekerja. Hampir 80 tahun UMNO bekerja dan melalui pelbagai ujian dalam usaha membina negara ini. Selama puluhan tahun, hasil pembangunan dan sumbangan tersebut turut dinikmati seluruh rakyat, termasuk ahli Pas. Jadi, janganlah bercakap seolah-olah hanya Pas yang tahu bekerja.

“Dalam soal projek pula, jika benar ada individu yang mencari projek atau mengumpul kekayaan melalui cara yang salah, nyatakan siapa individu tersebut dan kemukakan bukti. Jangan membuat tuduhan secara pukul rata terhadap seluruh UMNO. Baru hendak duduk semeja untuk berbincang, sudah mula melabel dan menuduh pihak yang mahu dijadikan rakan kerjasama,” katanya lagi.

Tambahnya, soal pembahagian kerusi untuk pilihan raya perlu diserabkan kepada pimpinan utama kedua-dua parti.

“Berhubung soal pembahagian kerusi, serahkan kepada pimpinan utama kedua-dua parti untuk berunding dengan baik. Perbincangan belum selesai, tetapi sudah ada pihak mengumumkan siapa yang perlu berkorban. Itu rundingan atau arahan?

“Sanusi juga tidak perlu terlalu sibuk menguji keikhlasan UMNO. Kedudukan Perikatan Nasional (PN) sendiri masih berdepan isu berkaitan pendaftarannya yang digantung oleh RoS susulan aduan PPBM. Pendaftarannya belum dibatalkan, tetapi perkara itu tetap perlu diselesaikan.

“Dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang semakin hampir, jika kedudukan gabungan sendiri masih belum jelas, bagaimana gerak kerja bersama mahu disusun dan bagaimana gelombang biru di Melaka mahu diteruskan?” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa kedudukan Islam, hak Melayu dan Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu perlu diberi fokus utama.

“Hari ini, kita berdepan perkara yang lebih besar untuk difikirkan. Kedudukan Islam, hak Melayu dan Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu perlu dipertahankan. Itulah perkara yang sepatutnya kita jaga bersama, bukannya menghabiskan masa menyindir pihak yang baru sahaja diajak untuk duduk berbincang.

“UMNO ikhlas untuk berbincang. Kalau mahu berkawan, marilah berkawan dengan baik. Jangan tangan bersalaman tetapi kaki pula tendang rakan.

“Sanusi berkata Pas tidak bodoh. Saya dengar dan faham perkara itu. Cuma sebelum terlalu sibuk memeriksa langkah rakan, elok juga diperiksa terlebih dahulu sama ada tali kasut sendiri sudah diikat dengan kemas atau belum,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO