Perhatian, Keprihatinan Terhadap Pesara Polis Terus Diperkasa – Ab Rauf

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Perhatian dan keprihatinan Kerajaan Negeri Melaka terhadap keluarga besar pesara polis akan terus diperkasa, kata Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka telah berkesempatan berada dalam Majlis Ramah Mesra Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa.

“Alhamdulillah, walaupun semalam merupakan hari yang cukup panjang buat saya, saya tetap meluangkan masa untuk bersama lebih 800 pesara PDRM pada Majlis Ramah Mesra Pesara PDRM di Seri Bendahara.

“Bagi saya, jasa tidak pernah mengenal istilah persaraan.

“Malam tadi bukan sekadar majlis ramah mesra. Ia adalah ruang untuk saya bertemu, mendengar, menyelami juga menghargai insan-insan yang telah mengabdikan sebahagian besar usia mereka demi negara dan rakyat,” katanya.

Ujarnya, Kerajaan Negeri Melaka telah menyalurkan sumbangan lebih RM300,000 kepara pesara termasuk sumbangan peralatan perubatan.

“Kerajaan Negeri Melaka menyalurkan sumbangan keseluruhan lebih RM300,000 kepada pesara dan persatuan PDRM Melaka sebagai tanda penghargaan atas jasa serta pengorbanan mereka sepanjang berkhidmat.

“Selain itu, empat persatuan pesara polis turut menerima sumbangan peralatan bernilai lebih RM7,000, antaranya katil, kerusi roda dan tongkat untuk dimanfaatkan oleh ahli yang memerlukan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Melaka terus menyantuni warga pesara PDRM meskipun mereka telah menamatkan perkhidmatan.

“Inilah wajah Melaka Sayang Rakyat. Kita bukan hanya menghargai mereka ketika masih berkhidmat, tetapi terus menyantuni mereka setelah menamatkan khidmat. Insya-Allah, perhatian dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap keluarga besar pesara polis akan terus diperkasa.

“Kita dengar, kita santuni dan kita bantu. Kerana keamanan yang kita nikmati hari ini, ada pengorbanan insan terdahulu yang tidak ternilai harganya.

“Hadir sama, Datuk Ibrahim Durum, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka; Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka; Deputi Komisioner Polis Datuk Dzulkhairi Mukhtar, Ketua Polis Melaka serta barisan pimpinan dan wakil persatuan pesara PDRM Negeri Melaka,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO