Bandar Pintar Johor Mesti Beri Impak Nyata Kepada Rakyat
JOHOR BAHRU, 22 Sept – Pembangunan bandar pintar di Johor perlu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dengan memastikan kehidupan mereka menjadi lebih mudah, selamat, selesa dan sejahtera.
Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kemajuan bandar tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kecanggihan teknologi, pembangunan fizikal atau jumlah pelaburan, sebaliknya keberkesanannya perlu dilihat melalui impak terhadap kehidupan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merasmikan Johor Smart City Forum (JSCF) 2026 Vol. 2 di Rooftop Toppen Shopping Centre, IKEA Tebrau, di sini hari ini.
“Teknologi hanyalah alat, tetapi matlamat utama kita tetap manusia dan kesejahteraan mereka. Setiap inovasi yang dilaksanakan mesti mampu menyelesaikan masalah sebenar rakyat dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan.”
Menurut beliau, perkara itu selaras dengan aspirasi Maju Johor 2030 yang memberi penekanan kepada tadbir urus, pembangunan ekonomi, keselamatan sosial, kemudahan asas, keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam sekitar serta pembangunan Orang Muda Johor.
Katanya, melalui Blueprint Bandar Pintar Negeri Johor 2030, sebanyak 111 projek dan program telah dirangka sebagai panduan pelaksanaan di peringkat negeri dan tempatan.
“Blueprint ini bukan sekadar dokumen perancangan, sebaliknya setiap inisiatif perlu mempunyai garis masa, sasaran dan impak yang jelas kerana rakyat bukan menunggu perancangan, tetapi menunggu penyelesaian,” katanya.
Mohd Jafni berkata, pelaksanaan teknologi seperti Smart Traffic Light, AI CCTV, Panic Button dan Smart Pole perlu diterjemahkan kepada penyelesaian yang dapat dirasai rakyat, termasuk mengurangkan kesesakan, meningkatkan keselamatan serta mempercepatkan tindak balas terhadap kecemasan dan aduan.
Dalam masa sama, beliau berkata usaha pendigitalan turut diteruskan menerusi Sistem Perumahan Johor, MyAduan Johor dan Johor Urban Observatory bagi membantu kerajaan membuat keputusan yang lebih pantas, tepat dan berpaksikan keperluan rakyat.
Beliau turut memaklumkan bahawa 15 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor telah menerima pengiktirafan Tahap 1, Smart City Early Adopter, manakala Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menjadi satu-satunya PBT di Malaysia yang mencapai Tahap 3, Leading Smart City.

Pada majlis sama, turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman antara Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan PLANMalaysia Johor serta penyerahan sumbangan tanggungjawab sosial korporat IKEA berupa kelengkapan perabot kepada 16 Rumah Mampu Milik.
“Inilah kerjasama strategik yang kita mahukan iaitu kerajaan menyediakan dasar dan hala tuju, manakala industri serta rakan strategik bersama-sama menyumbang kepakaran dan manfaat secara langsung kepada rakyat.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PLANMalaysia Johor, Kerajaan Negeri Johor, IKEA Tebrau, Toppen Shopping Centre dan semua rakan strategik atas penganjuran forum berkenaan.
“Daripada idea kepada inovasi, daripada inovasi kepada impak iaitu kita mahu pembangunan Johor sentiasa berjiwa rakyat dan memastikan setiap kemajuan yang dicapai membawa kehidupan yang lebih baik kepada seluruh Bangsa Johor.” – UMNO Online
