Kesucian Dan Keselamatan Dua Tanah Haram Mengatasi Segala Konflik – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kesucian dan keselamatan Dua Tanah Haram, Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah, mesti mengatasi segala bentuk konflik dan perselisihan politik mahupun ketenteraan.

Beliau berkata, kedua-dua kota suci itu perlu terus terpelihara daripada sebarang bentuk konflik, ancaman atau tindakan ketenteraan tanpa mengira pihak yang menjadi punca atau dalang kepada ancaman berkenaan.

“Saya menolak dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan orang awam, para jemaah haji dan umrah serta tetamu Allah, atau mencemarkan dua tempat suci umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, Malaysia menghormati kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah Kerajaan Arab Saudi, selain menghargai hubungan persaudaraan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Katanya, sebesar mana sekalipun perselisihan politik atau ketenteraan, kesucian Dua Tanah Haram tidak wajar dijadikan medan pertarungan atau bahan pertaruhan.

“Saya menyeru seluruh umat Islam supaya bersatu dan bersolidariti mempertahankan kesucian Dua Tanah Haram, melangkaui perbezaan politik dan sempadan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mendoakan agar Allah SWT terus memelihara Penjaga Dua Tanah Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, serta mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada baginda.

Beliau turut mendoakan agar Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, diberikan perlindungan dan taufik, selain mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat Arab Saudi.

“Semoga Allah SWT terus memelihara Kerajaan Arab Saudi, mengurniakan keamanan, kestabilan dan kemakmuran kepadanya serta melindungi Dua Tanah Haram dan seluruh tetamu Allah daripada segala ancaman dan keburukan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO