Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO – Dr Akmal Saleh
TAJUK: “INI JALAN KITA”
MUKADIMAH – JALAN INI
1. Segala puji-pujian buat Allah Yang Maha Menentukan, Dia yang membentangkan jalan di
antara daratan dan lautan, menetapkan arah bagi bintang -bintang, serta memimpin hati
manusia yang mencari petunjuk dan kebenaran.
2. Dia yang mengetahui setiap jalan yang telah kita lalui, setiap simpang yang sedang kita
hadapi, dan setiap destinasi yang masih tersembunyi di sebalik rahsia waktu. Tiada satu
pun langkah yang terlepas daripada pengetahuan dan kehendak-Nya.
3. Kepada-Nya kita memohon petunjuk ketika jalan menjadi kabur, kepada -Nya kita
bersandar ketika langkah terasa berat, dan kepada-Nya jua kita menyerahkan segala ikhtiar
setelah seluruh daya dan upaya dicurahkan di JALAN INI.
4. JALAN INI – adalah jalan perjuangan yang diwariskan kepada kita. Ia tidak bermula
dengan langkah kita, dan tidak akan berakhir hanya kerana kita sudah tiada. Kita hanyalah
penyambung kepada perjalanan yang lebih besar daripada diri dan kedudukan kita.
5. Selama 80 tahun, jalan ini tidak selalunya lurus. Ada waktunya kita menang, ada waktunya
kita tersungkur. Ada yang datang berjalan bersama, ada yang keletihan lalu berhenti, ada
juga yang tersisih atau disisihkan daripada perjalanan , malah ada juga yang lari tak
kembali.
6. Namun tujuan jalan ini tidak boleh berubah. Ia tetap menuju kepada pembelaan agama,
pemeliharaan bangsa dan maruah tanah air. Sebagai Pemuda, tugas kita bukan sekadar
berjalan lebih pantas, tetapi memastikan arahnya benar dan tiada keluarga sendiri yang
tertinggal.
7. Alhamdulillah – Dalam tempoh tiga tahun ini, 11 orang daripada barisan Pemuda telah
diberi amanah sebagai wakil rakyat. Itu bukan sekadar pertambahan kerusi; itulah bukti
bahawa – jika kena dengan caranya – kami para Pemuda boleh bekerja, memimpin,
memikul tanggungjawab dan paling penting – diterima oleh rakyat jelata.
8. Namun pada hari kita menghitung mereka yang melangkah ke hadapan, jangan dilupakan
sahabat yang telah meninggalkan kita. Antaranya Allahyarham Mohd Syahher Redzha bin
Malik, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Penggerang, Allahyarham Hadzri Effendy Ahmad
Afandi, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bayan Baru dan yang terbaru – Allahyarham
Mohd Radzi Rahimi, Edy, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, yang pergi bersama
isteri dan anggota keluarganya dalam tragedi yang meruntun jiwa. Sama-sama ki ta
sedekahkan Al Fatihah.
9. Setiap kali pilihan raya, Eddy bukan orang yang menunggu arahan dari belakang. Wajah
inilah yang akan hadir terlebih dahulu. Tubuh inilah yang akan berdiri paling hadapan. Dia
mungkin tidak memiliki pangkat yang besar, tetapi kesetiaannya kepada perjuangan tidak
pernah kecil. Hari ini, wajah itu tidak lagi kita temui dan suara itu tidak lagi kita dengari.
Namun baktinya akan terus hidup dalam ingatan keluarga besar Pemuda.
10. Pemuda tidak akan meninggalkan sahabat, apatah lagi anak yang ditinggalkannya.
Persaudaraan kita tidak terputus walaupun seorang sahabat telah pergi menghadap Ilahi.
ONCE YOU ARE PEMUDA, SELURUH KELUARGAMU ADALAH KELUARGA
KAMI! Susahmu kami pikul, anakmu kami jaga, amanahmu kami teruskan!
11. Hari ini, Pemuda UMNO Malaysia m enerima Adik Muhammad Rizz Haziq sebagai anak
angkat Pemuda. Selagi langkahnya belum teguh, keluarga besar ini akan berjalan di sisinya.
Insya-Allah, kita akan memperuntukkan sebanyak RM36,000 dalam SSP N – bagi
membantu pendidikan dan masa hadapannya.
12. Keluarga Eddy tidak pernah meminta semua ini. Kerana ini bukan sedekah dan bukan
bahan publisiti. Ini ialah janji sebuah keluarga kepada sahabat yang telah pergi: biarpun
ayahnya sudah tiada, kasih keluarga perjuangannya tidak akan sesekali terputus. Hari ini,
ayah adik mungkin sudah tiada di sisi. Tetapi percayalah, di dalam dewan ini ada lebih
seribu orang ayah dan abang yang akan sentiasa berdiri bersama adik – menjaga adik dan
tidak sesekali membiarkan adik berjalan sendirian.
13. Kita lakukan semua ini bukan untuk mendapat tepukan. Kita lakukan kerana persaudaraan
Pemuda tidak terhenti di pusara. Mereka yang telah pergi meninggalkan nama; kita yang
masih hidup wajib menyambung amanahnya. Dan amanah ini tidak boleh dibiarkan hilang
arah di tengah perjalanan. Untuk menentukan ke mana ia harus dibawa, kita mesti kembali
kepada akar perjuangan – ke tempat jalan ini pernah bermula.
PEMBUKAAN – TIGA NEGERI, SATU PERJALANAN
Tuan-tuan dan puan-puan,
14. Bercakap tentang JALAN INI PERNAH BERMULA, marilah kita mengundur seketika ke
suatu zaman yang gelap iaitu ketika tanah ini dijajah, orang Melayu bukan sekadar
dirampas kuasanya, tetapi dipecahkan jiwanya. Kita dipisahkan, dijauhkan dan dibiarkan
saling mencurigai melalui dasar pecah dan perintah. Kerana penjajah memahami satu
perkara: MELAYU YANG BERSATU SUKAR DITUNDUKKAN – maka untuk
menguasai tanah ini, Melayu mesti dipecahkan!
15. Tetapi kuasa Allah – hadirnya Malayan Union telah menjadi asbab kepada penyatuan besar
orang Melayu. Ap abila kedaulatan Raja-Raja Melayu dan masa depan bangsa diancam,
orang Melayu sedar bahawa perbezaan mesti diuruskan dan perjuangan mesti diutamakan.
16. Maka – Pada tanggal 11 Mei 1946, di Istana Besar Johor Bahru – UMNO dilahirkan secara
rasmi. Ribuan Melayu yang berbeza latar pendirian bertekad memilih satu payung, satu
wadah dan satu tujuan yang lebih besar daripada kepentingan masing-masing.
17. “BULAT AIR KERANA PEMBETUNG, BULAT MANUSIA KERANA MUAFAKAT.”
Itulah roh UMNO – bukan memaksa semua orang menjadi serupa, tetapi menyatukan
keberanian apabila agama, bangsa dan tanah air memerlukan pembelaan.
18. Selepas kemerdekaan, kita pernah berdiri teguh sebagai satu bangsa. Namun apabila
perjuangan diganti dengan keselesaan, kita mula melupakan harga sebuah penyatuan, lalu
Melayu kembali berpecah dan kekuatan kita sedikit demi sedikit terhakis seperti apa yang
kita lihat hari ini.
19. Tetapi setelah sekian lama terpisah, Alhamdulillah, bara yang hampir padam itu kembali
menyala di bumi Johor apabila Barisan Nasional memenangi 48 daripada 56 kerusi dalam
Pilihanraya Negeri baru-baru ini. Tetapi jangan kita lihat kemenangan hanya pada angka;
lihatlah bagaimana kerja akar umbi, disiplin jentera parti dan keyakinan rakyat dibina
semula.
20. Johor mengajar bahawa nostalgia sahaja tidak akan memenangkan UMNO. Rakyat tidak
mahu sekadar mendengar betapa besar jasa kita semalam; mereka mahu melihat apa yang
kita lakukan hari ini demi kelangsungan hari esok.
21. Kemudian kita bergerak ke Negeri Sembilan. Barisan Nasional memenangi 18 kerusi dan
Perikatan Nasional tujuh kerusi, lalu 25 daripada 36 kerusi membentuk kerajaan negeri. Di
sana, kita melihat bahawa dua kekuatan Melayu boleh menemukan kestabilan apabila ada
kesediaan untuk bekerjasama.
22. Apa yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan bukan lesen untuk kita mendabik dada.
Kemenangan tidak bermakna rakyat menerima kita untuk selama -lamanya. Penerimaan
rakyat ialah kepercayaan yang dipinjamkan – dan setiap kepercayaan mesti dibayar kembali
dengan kerja serta khidmat.
PERUBAHAN JALUR POLITIK – MENGAPA PAS?
Sahabat-sahabat Pemuda sekalian,
23. Saya tahu, ada yang bertanya – mengapa UMNO kini memilih PAS?
24. Sebenarnya – sudah terlalu banyak kali kita diuji oleh PH dalam perkara yang menyentuh
prinsip, maruah serta sensitiviti Melayu dan Islam. Sebab itu, kalau ada yang bertanya
mengapa UMNO mahu mengubah jalur politiknya untuk Bersama PAS – jangan tanya
UMNO. TANYALAH PH, MENGAPA BERKALI -KALI MEREKA MEMAKSA
UMNO MEMILIH ANTARA KUASA DENGAN PRINSIP!
25. Kita masih ingat, ketika mereka mahu mendapatkan kuasa, bukan main la gi mereka
menjunjung titah dan menghormati Raja -Raja Melayu. Tetapi apabila titah tidak lagi
menepati selera politik mereka, hal BABI pun mereka sanggup cabar titah Raja.
26. Saya mahu tanya : DI MANA SUARA PEMIMPIN -PEMIMPIN PH YANG LAIN?
Mengapa diam? Apabila memerlukan Raja, titah dijunjung. Apabila titah menghalang
kepentingan mereka, Raja pula mahu diajar! INILAH PERANGAI DAN WAJAH
MEREKA YANG SEBENAR!
27. Semalam, Setiausaha Agung UMNO turut mempersoalkan mengapa wujud dua piawaian
dalam isu pengampunan. Apabila melibatkan pemimpin mereka, pengampunan dianggap
sebagai keadilan. Tetapi apabila melibatkan pemimpin UMNO, kuasa Raja pula mahu
dipersoalkan!
28. Sahabat-sahabat, ketika mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Dato’ Sri
Najib, kita sedih, kita marah dan kita kecewa. Tetapi kita tidak pernah
mengisytiharkan mahkamah sebagai musuh. Kita terus memperjuangkan beliau
melalui saluran undang-undang – kerana keputusan mahkamah, kita hormati!
29. Kita tak pernah angkat kain rentang tulis “KITA LAWAN MAHKAMAH”. Kita tak
pernah buat billboard besar -besar BEBASKAN NAJIB. Kita tak pernah ada
Countdown BEBASKAN NAJIB!
30. Ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima pengampunan penuh, UMNO tidak
mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong. Kita tidak menyerang titah Baginda.
Kita menerimanya – kerana kuasa pengampunan Raja adalah kuasa mutlak yang
termaktub dalam Perlembagaan, dan itu yang kita junjung tinggi!
31. Apabila pengampunan memihak kepada mereka, namanya keadilan. Apabila
melibatkan pemimpin kita, kuasa Raja pula mahu dipersoalkan! INI BUKAN
PRINSIP – INI HIPOKRIT!
32. PRINSIP UMNO JELAS: KEPUTUSAN MAHKAMAH KITA HORMATI, KUASA
RAJA KITA JUNJUNG! JANGAN PERTIKAIKAN KUASA MUTLAK RAJA!
33. Hari ini, saya mahu bercakap terus kepada DAP dan sesiapa sahaja yang mahu menguji
kesabaran orang Melayu: JANGAN SANGKA KERANA UMNO BERADA DALAM
KERAJAAN, PEMUDA UMNO AKAN DUDUK DIAM ! Kami boleh bertolak ansur
dalam politik, tetapi bukan dalam soal Islam, Melayu dan Raja-Raja!
34. SELAGI DARAH MASIH MENGALIR, SELAGI NADI MASIH BERDENYUT –
PEMUDA UMNO AKAN TERUS MELAWAN! JAWATAN BOLEH HILANG,
KERAJAAN BOLEH BERTUKAR; TETAPI MARUAH MELAYU, KESUCIAN
ISLAM DAN KEDAULATAN RAJA -RAJA TIDAK AKAN SESEKALI KAMI
JUAL!
35. Dan saya masih ingat – ketika kita diherdik, dihina dan pendirian kita dipersoalkan,
sahabat-sahabat kita daripada PAS datang menghulurkan tangan. Johor dan Negeri
Sembilan membuktikan – bahawa UMNO dan PAS boleh saling menyokong apabila
kepentingan ummah diletakkan mengatasi persaingan parti.
36. Untuk hal ini – Pemuda tidak mendakwa kita bergerak sendirian. Tetapi sejarah mesti
berlaku adil. Sejak tiga tahun lalu, ketika seruan penyatuan masih dipandang sinis, Pemuda
UMNO konsisten membawa agenda Tekad Ummah, Pemuda UMNO bekerja merapatkan
saf dalaman dan Pemuda UMNO berani membuka jalan perbincangan yang lebih luas.
37. PENYATUAN UMMAH BUKAN CERITA YANG KITA CIPTA SELEPAS
KEMENANGAN. IA ADALAH JALAN YANG PEMUDA BUKA SEBELUM
HASILNYA KELIHATAN.
REALITI PERPECAHAN MELAYU
Keluarga UMNO yang saya cintai,
38. Kita tidak perlu menunggu seluruh bangsa bergerak untuk memulakan perubahan. Cukup
ada satu kelompok yang berani mengambil langkah pertama. Dan saya percaya, PEMUDA
BOLEH MEMULAKAN GELOMBANG INI!
39. Gelombang besar tidak bermula apabila seluruh lautan bergerak serentak. Ia bermula
daripada satu gerakan kecil yang terus mara, menyambut tenaga di sekelilingnya, lalu
membesar sehingga mampu mengubah seluruh pesisir.
40. UMNO mempunyai kekuatannya. PAS juga mempunyai kekuatannya. Namun selagi dua
tenaga besar ini bergerak sendirian dan saling bertembung, gelombang kita akan pecah
sebelum sampai ke pantai. Apabila kedua -duanya bergerak dalam satu arah, insya -Allah,
kita mampu merempuh apa jua cabaran.
41. Kita boleh menenangkan hati dengan angka keahlian dan tepukan di dalam dewan ini.
Tetapi di luar dewan, tenaga politik Melayu masih terpecah sedangkan masalah rakyat terus
menunggu. Sebab itu pada awal tahun ini, Pemuda mengadakan Konvensyen Khas Pemuda
– untuk mendengar sendiri suara akar umbi, tanpa solekan, tanpa tapisan dan tanpa
ketakutan.
42. Ada yang bersetuju. Ada yang marah. Ada juga yang menuduh Pemuda biadab. Tetapi
sejak bila bercakap benar kepada keluarga sendiri dianggap biadab? Timbalan Presiden
pernah menyebut Pemuda sebagai loceng kecemasan parti. LOCENG KECEMASAN
TIDAK DIBUNYIKAN UNTUK MENYEDAPKAN TELINGA; IA DIBUNYIKAN
UNTUK MENGEJUTKAN SELURUH RUMAH SEBELUM API MEREBAK!
Pemuda tidak mencari gaduh, tetapi kita juga tidak akan mendiamkan bahaya.
43. Saya tahu ada hati yang masih terluka. Orang UMNO pernah kecewa dengan PAS. Orang
PAS juga pernah kecewa dengan UMNO. Ada kata-kata yang masih pedih, keputusan yang
masih dipersoalkan dan kisah lama yang masih sukar dilupakan.
44. Tetapi kalau kita terus menghitung siapa paling banyak melukakan dan siapa perlu terlebih
dahulu meminta maaf, bangsa ini akan terus membayar harga perpecahan kita. Sampai bila
anak cucu perlu menanggung sengketa yang bukan mereka mulakan? TUGAS ORANG
MUDA BUKAN MEWARISI SENGKETA LAMA. TUGAS ORANG MUDA
IALAH MEMIMPIN MASA DEPAN!
45. Kita boleh berbeza. Kita boleh tidak bersetuju. Kita boleh agree to disagree . Tetapi
janganlah kita terus disagree sehingga akhirnya orang Melayu kehilangan segala-galanya.
Berbeza pandangan tidak sepatutnya membuatkan kita lupa bahawa kita masih bersaudara.
46. Namun sebelum mengajak rumah sebelah berjalan bersama, kita mesti memastikan anak –
anak di dalam rumah sendiri tidak lagi terbuang. Kita tidak boleh bercakap tentang
penyatuan Melayu jika keluarga UMNO sendiri masih tidak tahu jalan untuk pulang. Atas
kesedaran inilah Pemuda menggerakkan Agenda TEKAD UMMAH – untuk menyatukan
kembali keluarga perjuangan, merawat luka dan memulihkan kepercayaan dari dalam.
47. Alhamdulillah, usaha konsisten Pemuda ini disambut dengan jiwa besar Dato’ Seri Presiden
melalui gagasan RUMAH BANGSA. Jika Tekad Ummah membuka jalan untuk kembali,
Rumah Bangsa menjamin pintunya benar -benar terbuka. Inilah kebesaran hati seorang
Presiden – bukan menghitung siapa pernah pergi, tetapi memikirkan bagaimana seluruh
keluarga dapat dibawa pulang. Apa yang ber laku di Johor dan Negeri Sembilan
membuktikan bahawa usaha ini munasabah dan mula mengembalikan keyakinan rakyat.
48. Pemuda tidak mahu dinilai melalui sekuat mana kita bercakap, tetapi sebanyak mana kita
bekerja. Pemuda bukan pentas untuk belajar diam; Pemuda tempat memikul amanah. JIKA
PARTI PERLU DITEGUR, KITA TEGUR. JIKA BANGSA PERLU DIBELA,
KITA LAWAN. PEMUDA BUKAN DIDIDIK UNTUK TAKUT – PEMUDA
DIBENTUK UNTUK BERDIRI, BEKERJA DAN MELAWAN!
SELEPAS RUMAH DIKUATKAN – BUKA JALAN KEPADA PAS
Sidang hadirin sekalian,
49. Kita jangan salah faham. Ketetapan kita untuk membawa penyatuan ummah bukan lahir
selepas kemenangan di Johor atau Negeri Sembilan. Ia lahir daripada prinsip bahawa
politik UMNO mesti mempunyai tujuan – menyatukan kekuatan Melayu -Islam demi
agama, bangsa dan ne gara. KETETAPAN INI BUKAN LAHIR DARIPADA
KEPUTUSAN TETAPI KEPUTUSAN ITULAH YANG DATANG SELEPAS KITA
TEGUH PADA KETETAPAN.
50. Kita berpegang pada prinsip ini ketika belum ada hasil untuk ditunjukkan. Kita ditekan,
ditohmah dan dikatakan bermacam -macam. Ada yang menganggap kita gila. Ada yang
berkata usaha ini tidak akan ke mana. Tetapi kita tidak berganjak – kita terus berjalan,
mengasak dan membuktikan.
51. Ketika kami mengambil alih kepimpinan Pemuda, ramai bertanya: siapa Dr. Akmal? Siapa
barisan Exco ini? Kita bukan nama besar yang datang bersama kereta mewah, pangkat
tinggi atau kuasa kerajaan. Kita menerima amanah bukan ketika UMNO sedang gagah,
tetapi ketika parti sedang kalah dan keyakinan rakyat sedang jatuh.
52. KITA TIDAK MEMILIH UMNO KETIKA IA SEDANG MENANG. KITA
MEMILIH UNTUK KEKAL KETIKA IA SEDANG KALAH. Kita kekal kerana
percaya bahawa roh perjuangan UMNO ialah menyatukan Melayu -Islam – bukan
membiarkan mereka terus saling melemahkan.
53. PAS ialah satu lagi blok besar politik Melayu -Islam. Mengakui realiti itu tidak
mengecilkan UMNO; sebaliknya menunjukkan keberanian kita berhadapan dengan
hakikat. Baru-baru ini, saya hadir ke Muktamar Pemuda PAS bersama kira -kira 25 orang
delegasi Pemuda UMNO – untuk membuka ruang perbincangan yang terlalu lama
dibiarkan tertutup.
54. Dan hari ini, siapa sangka Ketua Pemuda PAS hadir bersama-sama kita di dalam Dewan
Merdeka ini.
[MOHON KETUA PEMUDA PAS, SAUDARA YB AFNAN HAMIMI, BANGUN]
55. Sidang perwakilan sekalian, marilah kita berikan tepukan yang paling gemuruh kepada
saudara YB Afnan Hamimi. Terima kasih kerana sudi hadir. Buat pertama kalinya, seorang
pemimpin Pemuda daripada parti di luar Barisan Nasional hadir sebagai tetamu dalam
Perhimpunan Agung Pemuda UMNO. Inilah buktinya – orang muda boleh memulakan
langkah penyatuan! ORANG MUDA BOLEH MEMULAKAN GELOMBANG
PENYATUAN INI!
56. Siapa mahu mengambil kredit atas penyatuan ini, ambillah. Pemuda tidak membina
jambatan untuk menulis nama di atasnya. Kita membinanya supaya ummah dapat
menyeberang bersama. Yang kita mahukan hanyalah supaya kekuatan Melayu-Islam tidak
lagi disia-siakan dengan saling memecahkan.
57. Ada yang berkata kita sedang flirting dan mula mencari pasangan politik. Saya mahu jawab
dengan terus terang: saya tidak pergi untuk mencari cinta politik. Saya pergi untuk
mencari titik temu demi masa depan bangsa.
58. Kita tidak perlu memadam sejarah, tetapi jangan pula menjadi tawanan sejarah. UMNO
kekal sebagai UMNO dan PAS kekal sebagai PAS. Penyatuan yang matang tidak menuntut
kita membuang identiti – ia menuntut kita mengurus perbezaan dengan kebijaksanaan.
59. Dalam ucapan dasarnya, Saudara YB Afnan Hamimi telah menyeru agar digerakkan
Himpunan Mega Penyatuan Ummah. Hari ini, Pemuda UMNO menjawab – KAMI
BERSEDIA MENYAMBUT SERUAN ITU!
60. Namun penyatuan tidak boleh berhenti pada himpunan, sorakan dan salam di atas pentas.
Kita akan duduk semeja membincangkan masa depan bangsa, mencari solusi nyata untuk
anak-anak muda Melayu melalui SIRI RIMBUN, kemudian membawa semangat dan
solusi itu ke seluruh negara menerusi JELAJAH PENYATUAN UMMAH.
61. Kita bukan sekadar mahu menghimpunkan orang – kita mahu menghimpunkan kekuatan,
menyatukan fikiran dan menggerakkan tindakan!
62. Tiga tahun lalu, tugas Pemuda ialah membuka jalan penyatuan. Hari ini, tugas kita jauh
lebih berat – menjaga penyatuannya. Pesan Dato’ Onn Jaafar – “bersatu semula seperti
mana kita pernah bersatu.” DAN PEMUDA YANG MEMULAKAN GELOMBANG
INI AKAN BERDIRI PALING HADAPAN UNTUK MENJAGANYA!
63. Tapi bila kita mulakan gelombang penyatuan ummah ini – sudah tentu ada yang panas hati,
ada yang merah mata – hingga sanggup menghina dan melukis saya sebagai anjing.
Lukislah! Hinalah! Tekanlah! Saya tidak akan tunduk, tidak akan berpatah balik, dan tidak
akan menggadai penyatuan ummah ini!
64. Dari hari pertama kita sudah sedar – Semakin besar gelombang ini, semakin kuat usaha
untuk memecahkannya. Mereka akan menghina, menekan dan cuba melaga -lagakan kita
semula. Tekanlah kita sekuat mana pun – prinsip ini tidak akan kita jual!
65. Kepada sahabat-sahabat kita daripada masyarakat Cina dan India, saya mahu tegaskan:
penyatuan Melayu -Islam bukan ancaman kepada sesiapa. MEMBELA MELAYU
BUKAN BERERTI MEMUSUHI BUKAN MELAYU. MEMARTABATKAN
ISLAM BUKAN BERERTI MENAFIKAN HAK PENGANUT AGAMA LAIN.
Kepimpinan Melayu-Islam yang kuat mestilah mampu berlaku adil kepada seluruh rakyat
Malaysia.
66. Barisan Nasional telah membuktikannya. MCA tidak kehilangan identiti Cinanya dan MIC
tidak kehilangan identiti Indianya ketika bersama kita. PBRS juga tidak hilang jatidiri
bumiputera mereka. Apabila kita mempertahankan hak Melayu, kita tidak mengambil hak
kaum lain. Sejujurnya – Kita juga tidak mahu masyarakat Cina atau India berpecah; dan
saya percaya mereka juga tidak mahu melihat orang Melayu terus berpecah. Kerana
akhirnya, kita semua mahukan sebuah Malaysia yang lebih aman, lebih makmur dan
lebih bahagia.
PENYATUAN UNTUK APA?
Tuan-tuan dan puan-puan,
67. PENYATUAN TIDAK BOLEH BERHENTI DI MEJA POLITIK. PENYATUAN
MESTI SAMPAI KE MEJA MAKAN RAKYAT. Kerana akhirnya, rakyat tidak hanya
mahu melihat siapa yang duduk semeja – rakyat mahu tahu, apakah yang sampai ke atas
meja mereka?
68. Kalau harga barang masih menghimpit, bil elektrik terus meningkat, minyak makin mahal
dan subsidi pula dipotong – maka penyatuan ini belum membawa makna sepenuhnya
kepada kehidupan rakyat.
69. Saya mahu bertanya kepada sahabat-sahabat di dalam Dewan ini – sejak kebelakangan ini,
ada tak bil elektrik tuan-tuan semakin turun?
70. ADA ATAU TIDAK? TIDAK ADA!
71. Dahulu, mereka berteriak di seluruh negara: TURUNKAN BARISAN NASIONAL,
HARGA BARANG AKAN TURUN! TURUNKAN BARISAN NASIONAL, HARGA
ELEKTRIK AKAN TURUN!
72. Tetapi selepas Barisan Nasional diturunkan, harga barang tidak juga turun. Sebaliknya, kos
kehidupan pula yang naik. Bil elektrik naik, harga keperluan naik – dan rakyat terus diminta
bersabar. Rupa-rupanya slogan itu hanya sedap ketika berceramah, tetapi hilang apabila
mendapat kuasa. Janji dilaungkan untuk menawan hati rakyat; apabila kuasa sudah berada
di tangan, rakyat pula disuruh memahami seribu satu alasan.
73. Saya masih ingat lagi , ketika insan ini masih menjadi Ketua Pembangkang, dalam
ceramahnya beliau berjanji – berikan masa seminggu, beliau akan berjumpa TNB dan
mendesak tarif elektrik diturunkan. Tetapi rupa-rupanya, janji itu hanya laku ketika mahu
memburu kuasa. Akhirnya, bila beliau naik menjadi Perdana Menteri, bil elektrik pun dia
bawa naik sekali!
74. Sebab itu UMNO mesti berbeza. Apabila kita menawarkan sesuatu dasar, dasar itu mestilah
realistik, boleh dilaksanakan dan benar-benar dirasai manfaatnya. KITA TIDAK MAHU
MENJUAL ANGAN-ANGAN. KITA MAHU MENAWARKAN PENYELESAIAN.
Atas semangat itulah, Pemuda UMNO tampil membawa tiga cadangan yang dekat dengan
kehidupan orang muda dan keluarga Melayu.
CADANGAN PERTAMA – JAGA MOTOSIKAL, JAGA PENDAPATAN
75. Di jalan raya hari ini, ribuan anak muda mencari rezeki sebagai penghantar p -hailing.
Ketika kita masih tidur, mereka sudah berada di atas jalan. Ketika kita mahu menjamu
selera, mereka meredah panas dan hujan untuk menghantar makanan sampai ke pintu
rumah kita. Bagi seorang rider, motosikal bukan sekadar kenderaan; itulah pejabat, mesin
kerja dan punca rezeki keluarganya.
76. Semakin jauh mereka bergerak mencari pendapatan, semakin tinggi jarak perjalanan dan
semakin kerap motosikal itu perlu diselenggara. Sekali servis boleh menelan belanja
sekurang-kurangnya RM150. Bagi sesetengah orang, jumlah itu mungkin kelihatan kecil.
Tetapi bagi seorang rider, itulah duit makan keluarga dan duit susu anak. Apabila motosikal
rosak, bukan motosikal sahaja yang berhenti – PENDAPATAN MEREKA TURUT
TERHENTI!
77. Sebab itu kita mengalu -alukan langkah Kerajaan Negeri Melaka memberikan diskaun 30
peratus bagi penyelenggaraan motosikal kepada lebih 3,000 rider mulai 1 Oktober, melalui
bengkel terpilih dengan sekurang -kurangnya sebuah bengkel mewakili setiap kawasan
DUN.
78. Tetapi Pemuda mahu langkah ini pergi lebih jauh. Kita mencadangkan supaya diwujudkan
SKIM PENYELENGGARAAN MOTOSIKAL P -HAILING di peringkat nasional
melalui kerjasama kerajaan, syarikat platform dan bengkel-bengkel tempatan.
79. Kita tidak perlu bermula dari kosong. Negara mempunyai 232 pusat GIATMARA,
termasuk pusat yang menawarkan latihan penyelenggaraan motosikal. Maka saya ingin
mencadangkan – menerusi DS Presiden – untuk jadikan GIATMARA rakan latihan dan
pensijilan, libatkan pelajar TVET di bawah penyeliaan tenaga mahir, bantu bengkel
tempatan berkembang dan pastikan rider menerima servis yang selamat serta berkualiti.
Dalam satu langkah, kita menjaga motosikal rider, mela tih anak muda TVET, membantu
bengkel tempatan dan menggerakkan ekonomi akar umbi.
CADANGAN KEDUA – MUDAHKAN ANAK MUDA MEMBINA KELUARGA
80. Cita-cita orang muda tidaklah terlalu mewah. Mereka mahu pekerjaan yang stabil, sebuah
rumah untuk berteduh, mendirikan rumah tangga dan membesarkan anak -anak dengan
bermaruah. Tetapi sebelum sempat membina keluarga, mereka sudah berhadapan dengan
harga ru mah dan kadar pembiayaan yang tinggi, rekod CCRIS, deposit yang sukar
disediakan serta pinjaman yang sukar diluluskan. Akhirnya, ramai menyewa bertahun –
tahun tetapi masih belum memiliki walau seinci rumah sendiri.
81. Sebab itu kita mahu SKIM SEWA UNTUK DIMILIKI ATAU RENT -TO-OWN
DIPERLUASKAN khususnya di kawasan bandar yang mempunyai kos kehidupan tinggi.
Kerajaan juga perlu menetapkan kuota unit Rent-to-Own dalam projek perumahan mampu
milik serta projek yang menikmati tanah, insentif atau kemudahan daripada kerajaan. Kalau
anak muda mampu m embayar sewa secara konsisten setiap bulan, mengapa bayaran itu
tidak boleh membantu mereka membina deposit dan ekuiti untuk memiliki rumah tersebut?
82. Seterusnya, Pemuda ingin me ncadangkan – sekiranya bersesuaian – agar kerajaan
mengaudit berek lama, kuarters kerajaan yang sudah tidak dihuni dan bangunan kediaman
awam yang terbiar. Ubah suai dan naik taraf aset ini untuk dijadikan rumah sewa murah
kepada pasangan muda. Jangan biarkan bangunan kerajaan terus kosong, sedangkan anak-
anak muda sedang mencari tempat untuk memulakan kehidupan. DARIPADA
KUARTERS TERBIAR TANPA PENGHUNI, LEBIH BAIK KITA HIDUPKAN
SEMULA DENGAN TAWA DAN TANGIS ANAK-ANAK KECIL!
83. Pemuda juga mahu TA SKA KEMAS diperhebat di kawasan bandar, khususnya di PPR,
perumahan kos sederhana dan kawasan padat dengan keluarga muda. Hidup di bandar tidak
semestinya hidup senang. Ramai ibu bapa terpaksa membayar kos penjagaan anak yang
tinggi, malah ada yang terpaksa b erhenti bekerja. TA SKA KEMAS yang berkualiti dan
berpatutan boleh mengurangkan beban mereka serta memastikan anak -anak menerima
pendidikan awal yang baik.
84. Kita tahu kos menghantar seorang anak ke taska swasta di kawasan bandar boleh mencecah
RM600 sebulan, sedangkan yuran TASKA KEMAS hanyalah sekitar RM150. Bezanya
besar bagi pasangan muda yang sedang bergelut dengan kos sara hidup. Sebab itu Pemuda
meminta KKDW, di bawah tanggungjawab Dato’ Seri Presiden – walaupun namanya
KEMAJUAN DESA – tapi perbanyakkanlah TASKA KEMAS di kawasan perumahan
bandar – supaya kemudahan penjagaan anak yang berkualiti dan berpatutan dapat dinikmati
lebih ramai keluarga.
85. Mungkin ada yang skeptikal kata idea PEMUDA ini lekeh dan tak kan mungkin
dilaksanakan. Tapi sedar atau tak, ada idea PEMUDA yang sudah pun dilaksanakan oleh
Kerajaan menerusi Kementerian di bawah kelolaan YAB TPM.
86. Buktinya dalam soal pendidikan awal, ada satu kelompok keluarga yang bebannya jauh
lebih berat – ibu bapa yang membesarkan anak -anak autisme. Kos penjagaan, pendidikan
dan intervensi awal bukanlah murah. Bagi sebahagian keluarga B40 dan M40, kos itu
berada di luar kemampuan. Akhirnya ada anak yang lewat mendapat intervensi, malah ada
yang tidak menerima bimbingan sewajarnya. Sedangkan bagi anak -anak autisme, masa
amat berharga; setiap bulan yang terlewat boleh menyebabkan mereka semakin jauh
ketinggalan.
87. Sebab itulah Pemuda UMNO memperjuangkan penubuhan TA BIKA KEMAS khusus
untuk anak -anak autisme. Kita merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana
Menteri merangkap Presiden UMNO dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerana tidak membiarkan cadangan Pemuda ini tersimpan di
dalam fail. PEMUDA MEMBAWA SUARA, PRESIDEN MEMBUKA JALAN DAN
KERAJAAN MELAKSANAKANNYA.
88. Bermula dengan hanya tiga kelas rintis di Melaka, hari ini sudah terdapat 19 kelas TABIKA
Tunas Istimewa @ KEMAS di seluruh negara yang memberikan manfaat kepada 154 orang
kanak-kanak. Sasaran tahun hadapan, pihak KKDW akan mewujudkan TABIKA Tunas
Istimewa di setiap daerah dalam negara. Inilah bukti bahawa cadangan Pemuda praktikal,
boleh dilaksanakan dan sudah pun dinikmati rakyat.
CADANGAN KETIGA – NAFKAH IALAH HAK ANAK
Sahabat Pemuda sekalian,
89. Baru-baru ini, saya telah menemui seorang wanita yang sejak tahun 2017 tidak menerima
nafkah anak secara sempurna. Dia pernah ke mahkamah, tetapi proses kelihatan rumit dan
dia menyangka perlu membayar peguam yang tidak mampu ditanggung. Kesannya –
mereka ini digantung tak bertali.
90. Bantuan sebenarnya sudah ada. Tetapi masih ramai ibu yang tidak tahu pintu mana yang
perlu diketuk, borang apa yang perlu diisi dan siapa yang boleh membimbing mereka
sepanjang proses tersebut. BANTUAN YANG WUJUD TETAPI TIDAK DIKETAHUI
OLEH MEREKA YANG MEMERLUKAN, AKHIRNYA TIDAK MEMBAWA
APA-APA MAKNA.
91. Atas sebab itu, Biro Guaman Pemuda UMNO Malaysia akan menubuhkan satu pasukan
khas bagi membantu para ibu yang digantung tak bertali. Pasukan ini akan menerangkan
proses, menghubungkan mereka dengan saluran bantuan yang tersedia dan mengiringi
perjuangan mereka sehingga mendapat pembelaan yang seadilnya.
92. Bagi bekas suami berpendapatan tetap yang culas membayar nafkah, Pemuda
mencadangkan satu mekanisme potongan gaji automatik melalui perintah mahkamah
diwujudkan. Nafkah mesti disalurkan terus ke akaun bekas isteri terlebih dahulu sebelum
baki gaji diterima .
93. KITA TIDAK MAHU SEORANG IBU MENANG DI MAHKAMAH, TETAPI
KALAH DALAM KEHIDUPAN. Kerana nafkah bukan sekadar angka di atas sekeping
perintah. Nafkah ialah makanan seorang anak, yuran sekolahnya, ubat ketika dia sakit dan
haknya untuk membesar dengan bermaruah.
94. Walaupun ini Perhimpunan Pemuda, soal nafkah dan keadilan wanita tetap menjadi
kewajipan kita. Kerana Pemuda UMNO ini pencinta Wanita – tetapi jangan hanya pandai
mencintai, mesti berani membela! Betul atau tidak?
EKONOMI NEGARA – GST: TIDAK SALAH BERPATAH BALIK
Sidang perwakilan sekalian,
95. Setelah kita bercakap tentang rezeki, rumah, anak dan keadilan keluarga, akhirnya kita
mesti bercakap tentang kemampuan negara membiayai semua ikhtiar itu. Dasar kebajikan
yang baik memerlukan ekonomi yang kukuh, hasil yang mencukupi dan sistem percukaian
yang cekap. Negara perlu ada duit untuk laksanakan segala idea kebajikan.
96. Oleh itu, Pemuda ingin mendesak agar GST dikembalikan. Kita imbas semula fakta –
Ketika GST dilaksanakan, kutipannya pernah mencecah RM44.3 bilion setahun – lebih dua
kali ganda berbanding anggaran SST sekitar RM21 bilion. Hari ini SST dinaikkan dan
diperluas sedikit demi sedikit; soalannya – sampai bila kita mahu terus menampal sistem
ini?
97. Sebelum ini, Perdana Menteri begitu tegas mengatakan GST tidak akan dikembalikan.
Walaupun pakar ekonomi dan pemain industri menjelaskan bahawa negara memerlukan
sistem percukaian yang lebih luas dan telus, pendirian kerajaan tetap sama – GST tidak
perlu.
98. Tetapi sekarang Perdana Menteri sudah mula membuka pintu. Kerajaan mengumumkan
kesediaan mengkaji sistem yang menggabungkan unsur terbaik GST dengan SST.
99. Kalau dahulu pintu ditutup rapat tetapi hari ini dibuka sedikit demi sedikit, apakah
namanya kalau bukan perubahan pendirian? Dan terbaru, Ahli Parlimen Kepong daripada
DAP, Lim Lip Eng sendiri menyarankan supaya GST dikembalikan sekiranya lebih
berkesan daripada SST. Katanya, kerajaan tidak perlu mencipta sistem hibrid yang rumit
semata-mata mahu mengelakkan nama GST. Kalau wakil DAP sendiri sudah berani
menyebut GST, mengapa PMX masih takut kepada tiga huruf ini?
100. Namun tidak mengapa, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pemuda UMNO mengucapkan terima
kasih. Tidak salah berpatah balik apabila akhirnya kita kembali ke jalan yang betul.
101. Hendak dinamakan MADANI Tax sekalipun, gunalah. Kami bukan macam pembangkang
zaman DS dulu. Kalau bend a tu baik, kami sokong. Kalau benda tu tak baik, kami akan
tentang habis-habisan.
DARI PAU KE MELAKA – UJIAN PELAKSANAAN
102. Selepas PAU, Melaka menjadi medan paling dekat untuk menguji sama ada gagasan hari
ini mampu bergerak keluar dari dewan.
103. Melaka bukan sekadar perhentian seterusnya. melaka ialah ujian sama ada kita mampu
menukar kesedaran menjadi kerja, penyatuan menjadi dasar, dan dasar menjadi kehidupan.
Johor memulakan, Negeri Sembilan membuktikan, Melaka mesti melaksanakan.
104. Kepada Ketua Menteri Melaka, YAB DS Utama Abdul Rauf Yusoh, saya mahu katakan –
PEMUDA UMNO MALAYSIA SUDAH BERSEDIA! TIUPKAN SEMBOYAN!
SUSUNKAN BARISAN! KITA AKAN TURUN! KITA AKAN LAWAN! DAN KITA
AKAN PASTIKAN MELAKA TERUS KEKAL SEBAGAI KUBU TERKUAT
GELOMBANG BIRU!
105. MANA LAGIIII, MELAKAAA LERRRRR!
PENUTUP – AMANAH DI SEPANJANG JALAN
106. Perjalanan Pemuda ini telah melalui beberapa musim. Ketika rumah ini dilanda ribut, kita
berdiri mempertahankannya lalu berkata, “INI RUMAH KITA.” Ketika ramai menyangka
kita akan rebah dan menghilang, kita tegakkan kepala lalu menjawab, “KITA MASIH DI
SINI.” Dan apabila keresahan tidak lagi boleh dibiarkan, kita membunyikan loceng dengan
seruan, “SUDAH TIBA MASANYA, SEGALANYA BERMULA DI SINI.”
107. Kawan-kawan, UMNO tidak akan kembali kukuh hanya kerana sejarahnya. Ummah tidak
akan kembali bersatu hanya kerana kita mengimpikannya. Rakyat juga tidak akan kembali
percaya hanya kerana kita memintanya. Semua perubahan yang kita mahukan , mesti
bermula daripada kita – kerana INI JALAN KITA!
108. Dan apabila saya menyebut tentang “kita”, ia bukan hanya merujuk kepada mereka yang
masih berdiri di dalam dewan ini. “Kita” juga merangkumi mereka yang pernah berjalan
bersama, tetapi tidak sempat sampai ke penghujung perjalanan; mereka yang namanya
tidak lagi dipanggil, tetapi amanahnya masih kita galas.
109. Maka sebelum saya mengakhiri ucapan ini, marilah kita merendahkan suara dan
menundukkan hati – mengenang mereka yang telah pergi, menghargai mereka yang masih
setia, dan mengingatkan diri bahawa suatu hari nanti, apabila kita pergi menghadap Ilahi,
apakah jasa dan bakti kita buat pertiwi. Izinkan saya menutup dengan beberapa bait untuk
kita renungkan bersama.
DI BAWAH LANGIT MELAYU
Di bawah langit yang menyimpan luka,
ada tanah yang dibasahi doa,
ada bangsa yang dibesarkan sejarah,
dan ada perjuangan
yang lahir daripada air mata.
Ketika Melayu mencari arah,
ketika agama menuntut pembelaan,
ketika tanah air mahu menentukan nasibnya sendiri
lahirlah sebuah nama:
UMNO.
Namun perjuangan sebuah bangsa lebih panjang daripada usia manusia,
lebih sunyi daripada tepukan di pentas,
dan lebih besar daripada siapa menang, siapa kalah.
Wahai Melayu,
sampai bila mahu menghitung perbezaan,
sedangkan air mata kita sama?
Sampai bila mahu mewariskan sengketa,
sedangkan azan masih menyeru kita ke arah kiblat yang sama?
Kita boleh berbeza wadah,
berbeza pandangan,
berbeza jalan
tetapi jangan sampai berbeza persaudaraan.
Kerana sebuah bangsa mula hilang
apabila anak-anaknya mewarisi dendam.
Maka pulanglah kepada akar.
Kepada adab.
Kepada agama.
Kepada persaudaraan.
Kepada tanah yang pernah menyatukan kita.
Kuasa akan datang dan pergi.
Jawatan akan bertukar tangan.
Nama kita juga akan dilupakan.
Tetapi maruah yang dijual
tidak mudah dibeli kembali.
Dan jika suatu hari
langkah kita pula terhenti,
biarlah tanah ini menjadi saksi
bahawa kita pernah berdiri,
bukan untuk diri sendiri,
tetapi untuk menjaga
agama, bangsa dan tanah air
Melayu,
peliharalah Ummah dengan kasih,
rangkul saudaramu dengan hikmah,
dan jadilah jambatan
yang menyatukan hati-hati manusia.
Bersatulah, wahai bangsaku.
Kerana sebuah bangsa
tidak menjadi besar
hanya kerana sejarahnya
tetapi kerana hati-hatinya
masih memilih untuk berdiri bersama.
INI RUMAH KITA
INI JALAN KITA
INI PERJUANGAN YANG KITA PERTAHANKAN SELAMANYA.
