TH Bukan ‘Punchline’ Politik, Baca Fakta RCI

MEMANG sudah ketandusan modal sampai baju oren pun mahu dijadikan bahan politik?

Dalam isu RCI Tabung Haji, jangan hanya ambil gambar untuk dijadikan “punchline”. Rakyat berhak mengetahui fakta sebenar daripada laporan RCI.

Pertama, laporan RCI tidak pernah menyebut perkataan “sakau”, “rompak” atau “mencuri”, dan tidak membuat dapatan kesalahan jenayah terhadap mana-mana individu. Yang dibangkitkan ialah salah tadbir, kelemahan tadbir urus dan ketidakpatuhan statutori.

Kedua, angka RM12 bilion “hilang” bukan angka daripada laporan RCI. Laporan merekodkan premium pemindahan aset RM10.2 bilion dan kerugian terkumpul RM4.7 bilion sehingga 2017. Malah, istilah “hilang” itu sendiri boleh mengelirukan kerana ia merujuk kepada kerugian nilai pelaburan atas buku, bukan wang yang lesap daripada akaun.

Ketiga, tiada pemimpin UMNO dinamakan RCI sebagai pencuri wang Tabung Haji. Beberapa tokoh politik disebut dalam konteks isu pelantikan ahli politik ke Lembaga, bukannya sebagai pencuri atau dikaitkan dengan keputusan pelaburan tertentu.

Keempat, setakat 19 Ogos 2026, tiada seorang pun disabitkan atas kesalahan berkaitan Tabung Haji bagi tempoh 2014–2020. Siasatan dan penahanan bukan bermaksud seseorang itu bersalah.

Dalam konteks ini, Datuk Seri Azeez Rahim sendiri telah menyatakan kesediaan untuk membantu siasatan. Maka, biarlah proses berjalan dan pihak berkuasa menentukan berdasarkan bukti.

Kalau ada kesalahan, UMNO tidak pernah meminta ia ditutup. Siasat, dakwa dan bawa ke mahkamah, tanpa mengira siapa, parti mana atau era pemerintahan mana.

Tetapi akauntabiliti mesti konsisten. RCI sendiri tidak meneliti sepenuhnya proses penstrukturan dan pemulihan selepas 2018, termasuk UJSB, pemindahan aset, terma sukuk dan pelupusan aset.

Malah, UMNO turut menuntut audit forensik dilaksanakan seperti yang disyorkan RCI supaya dapat ditentukan sama ada sesuatu kerugian berpunca daripada keputusan komersial, kelemahan prosedur atau perbuatan jenayah.

Jadi, jangan jadikan baju oren sebagai hukuman politik.

Baju oren bukan sabitan.
Siasatan bukan pertuduhan.
Pertuduhan bukan sabitan.

Rakyat mahu fakta, bukti dan akauntabiliti bukan persepsi yang dibina mengikut musim pilihan raya.


SHAIK ZULSIDIQUE MERICAN
Bendahari Putera UMNO Malaysia

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO