BN Gariskan Politik Matang, Pragmatik Dan Berprinsip Menuju PRU-16
Saya menyambut baik dan menyatakan sokongan terhadap kerangka pemikiran yang digariskan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam BN Forum Ke-11: Pasca PRN Johor dan Negeri Sembilan: Dinamika Baharu Politik Malaysia?
Ucaptama tersebut membawa satu mesej yang sangat jelas. Politik Malaysia sedang berubah dan Barisan Nasional tidak boleh menghadapi politik baharu dengan formula lama.
Keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan dua pendekatan berbeza tetapi membawa satu pengajaran yang sama. Johor memperlihatkan kekuatan BN melalui identiti, jentera dan rekod pentadbirannya sendiri, manakala Negeri Sembilan memperlihatkan bagaimana persefahaman politik boleh dibentuk tanpa mengorbankan identiti parti.
Saya melihat pendekatan yang diketengahkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sebagai satu bentuk politik matang, realistik dan berpandangan jauh. Kerjasama dalam kerajaan tidak semestinya menghapuskan hak sesebuah parti untuk mempertahankan identiti, prinsip, akar umbi dan strategi pilihan rayanya.
Kerjasama bukan penyerahan. Muafakat tidak bererti kehilangan identiti.
Dalam masa yang sama, kita harus menerima hakikat bahawa tiada lagi kelompok pengundi yang boleh dianggap sebagai fixed deposit mana-mana parti.
Pengundi hari ini semakin dinamik. Mereka menilai prestasi kerajaan, calon, keadaan ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan serta masa depan keluarga mereka.
Justeru, kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan tidak seharusnya menjadikan BN leka atau terlalu yakin. Sebaliknya, kemenangan tersebut mesti menjadikan kita lebih merendah diri dan bekerja lebih kuat untuk mempertahankan kepercayaan rakyat.
Saya juga bersetuju dengan penegasan Presiden bahawa there is no one size fits all strategi dalam menghadapi PRU ke-16.
Realiti politik Johor tidak sama dengan Negeri Sembilan. Begitu juga medan politik di Kelantan, Terengganu, Melaka, Sabah dan Sarawak yang mempunyai dinamik tersendiri.
Oleh itu, strategi BN menuju PRU ke-16 perlu berani mengambil kira realiti setempat tanpa mengorbankan prinsip dan identiti perjuangan parti.
Dalam konteks ini, saya melihat kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid telah berjaya membawa BN mengharungi satu tempoh politik yang sangat kompleks. Beliau perlu mengurus kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan, mempertahankan identiti UMNO dan BN serta pada masa yang sama membuka ruang kepada penjajaran strategik apabila keadaan memerlukannya.
Tidak semua keputusan politik akan popular pada hari ia dibuat. Kadangkala kebijaksanaan sesuatu keputusan hanya dapat dinilai setelah kita melihat hasil dan arah akhirnya.
Namun perjalanan menuju PRU ke-16 masih panjang.
BN mesti memperkukuhkan akar umbi, mendekati generasi muda, mengangkat suara wanita, membina semula keyakinan masyarakat bukan Melayu serta menawarkan penyelesaian sebenar terhadap persoalan ekonomi dan kehidupan rakyat.
Generasi baharu perlu mengenali sejarah dan jasa besar BN kepada negara. Namun pada masa yang sama, mereka juga mahu mengetahui apa yang BN mampu lakukan untuk masa depan mereka dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang.
Di sinilah BN perlu membuktikan bahawa kita bukan sahaja sebuah parti yang mempunyai sejarah besar, malah sebuah parti yang mempunyai gagasan besar untuk masa depan Malaysia.
Saya percaya mesej Datuk Seri Dr Ahmad Zahid cukup jelas. Jangan terperangkap dengan formula lama, jangan mabuk dengan kemenangan semasa dan jangan takut melakukan penyesuaian politik. Dalam apa jua keadaan, prinsip dan identiti perjuangan mesti terus dipertahankan.
Johor dan Negeri Sembilan telah memberikan petunjuk.
Melaka akan menjadi medan seterusnya.
PRU ke-16 pula merupakan ujian yang jauh lebih besar.
Gelombang Biru perlu berkembang daripada momentum kemenangan di beberapa negeri kepada gelombang keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional di seluruh negara.
Kita mahu rakyat melihat Barisan Nasional bukan hanya daripada sejarah dan sumbangan besarnya kepada negara, tetapi sebagai sebuah kekuatan politik yang mempunyai keberanian, pengalaman dan visi untuk memimpin masa depan Malaysia.

YB MOHD SYAHBUDDIN HASHIM
ADUN Galas
Ketua Pembangkang DUN Kelantan
