PAU 2026 Medan UMNO Muhasabah, Dengar Suara Akar Umbi
KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 dilihat sebagai medan penting bagi parti melakukan muhasabah, mendengar denyut nadi akar umbi serta memahami harapan rakyat selepas menempuh perjalanan panjang selama lapan dekad.
Naib Ketua Wanita UMNO Perak, Salina Samsudin berkata, PAU kali ini amat bermakna memandangkan UMNO kini telah menjangkau usia 80 tahun, namun perjalanan tersebut perlu disusuli keberanian untuk menilai kekuatan dan kelemahan parti dalam mendepani cabaran semasa.
Beliau yang juga ADUN Behrang menegaskan bahawa cabaran yang mendatang menuntut seluruh warga UMNO untuk terus terbuka dalam mendengar pandangan akar umbi serta memahami kehendak rakyat.

“PAU kali ini cukup bermakna. UMNO sudah menjangkau usia 80 tahun, perjalanan yang panjang, namun cabaran di hadapan menuntut kita terus berani bermuhasabah, mendengar denyut nadi akar umbi dan memahami harapan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Salina turut diberi kepercayaan mewakili Wanita UMNO Perak sebagai jurucakap pada PAU 2026.
Beliau berkata, amanah tersebut akan digalas sebaik mungkin bagi membawa suara Wanita UMNO Perak, termasuk pandangan akar umbi serta wanita yang terus istiqamah bekerja dan berjuang di lapangan.
“Apa yang dibawa nanti bukan suara Kak Ina seorang. Ia membawa bersama suara Wanita UMNO Perak, suara akar umbi dan suara wanita yang terus setia bekerja serta berjuang di lapangan,” katanya menerusi perkongsian di Faceboook.
Terdahulu beliau turut menghadiri Mesyuarat Jurucakap Wanita PAU 2026, di sini, petang tadi.
Salina seterusnya berharap amanah yang diberikan itu dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh UMNO agar terus dekat dengan akar umbi dan rakyat.- UMNO Online
