Baiki Sistem, Kukuhkan Tabung Haji – Mohd Isam

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa menegaskan jika kelemahan berpunca daripada sistem, maka sistem itulah yang perlu diperbetulkan dengan segera.

Jelas beliau, rakyat di luar sana tidak mahu lagi melihat isu Tabung Haji ini terus dijadikan medan pertelingkahan yang tidak berkesudahan.

“Rakyat mahu melihat Tabung Haji ini berdiri sebagai sebuah institusi yang lebih kukuh dan meneruskan legasinya.

Sekiranya terdapat salah laku yang dibuat oleh mana-mana individu, tindakan tegas hendaklah segera diambil.

“Jika kelemahan berpunca daripada sistem, maka sistem itulah yang perlu diperbetulkan dengan segera,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika Perbahasan Usul Perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas beliau, selama ini, Tabung Haji memainkan peranan penting sebagai pengurus simpanan, pelaburan dan operasi haji.

Katanya, sebelum 2018, bakal jemaah haji hanya perlu mempunyai simpanan minimum RM1,300 untuk mendaftar haji.

“Namun, selepas 2018. Jumlah tersebut telah meningkat secara mendadak kepada RM15,000. Ini bukan kenaikan kecil, ini merupakan peningkatan lebih 11 kali ganda. Perkara ini perlu dilihat daripada perspektif pendeposit biasa.

“Bagi golongan rentan, RM15,000 bukan angka yang kecil. RM15,000 mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk dikumpulkan. Syarat ini perlu dinilai semula, khususnya terhadap pendeposit yang telah lama menyimpan tetapi masih belum mencapai RM15,000.

“Kalau matlamat Tabung Haji adalah untuk membantu umat Islam menunaikan haji, maka jangan sampai syarat untuk mencapai impian itu semakin jauh daripada kemampuan rakyat,” katanya.

Mohd Isam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin menjelaskan dividen telah mula diperkenalkan oleh Tabung Haji sejak tahun 1994 sebagai tambahan kepada nilai simpanan.

“Sejak tahun 2018, kadar agihan yang diumumkan masih belum melepasi paras 5 peratus. Saya memahami bahawa Tabung Haji perlu mengutamakan kestabilan, kecairan dan pelaburan yang berhemat. Namun, pada masa yang sama, pendeposit juga berhak mengetahui mengapa pulangan yang diterima terus berada pada paras yang rendah.

“Lebih membimbangkan, apabila kos sara hidup terus meningkat, kos menunaikan haji juga semakin tinggi, tetapi pulangan kepada pendeposit tidak menunjukkan peningkatan yang sepadan. Akhirnya, pendeposit tepaksa menyimpan lebih banyak wang untuk mengerjakan ibadah haji,” ujarnya.

Tegasnya, jangan sampai kita hanya melihat pendeposit sebagai sumber dana kepada Tabung Haji, tetapi terlupa bahawa mereka juga wajar menikmati pulangan yang munasabah.

Dalam masa sama Isam percaya rakyat di luar sana tidak mahu lagi melihat isu Tabung Haji ini terus dijadikan medan pertelingkahan yang tidak berkesudahan.

“Rakyat mahu melihat Tabung Haji ini berdiri sebagai sebuah institusi yang lebih kukuh dan meneruskan legasinya.

Sekiranya terdapat salah laku yang dibuat oleh mana-mana individu, tindakan tegas hendaklah segera diambil.

“Jika kelemahan berpunca daripada sistem, maka sistem itulah yang perlu diperbetulkan dengan segera,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO