Johor Keluarkan Duit Negeri Untuk Bantu Sistem Kesihatan Persekutuan

LEBIH RM66 juta dibelanjakan dalam tempoh empat tahun.
Secara asasnya, hospital kerajaan, klinik kesihatan serta pelantikan doktor dan jururawat berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kerajaan Negeri sebenarnya boleh sahaja berkata, “Itu bukan bidang kuasa kami.”
Namun di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Johor memilih untuk masuk membantu.

Bukan sekadar membuat kenyataan. Kerajaan Negeri menggunakan dana sendiri untuk menampung kekurangan, memperbaiki fasiliti dan mengurangkan beban pesakit serta petugas kesihatan.

Antara yang telah dilakukan:
1. Memperjuangkan pembinaan HSA 2
Cadangan Hospital Sultanah Aminah 2 dibawa kepada Perdana Menteri, Menteri Kesihatan dan Kementerian Pertahanan.

Kerajaan Negeri membantu menyelesaikan isu tapak, menubuhkan jawatankuasa khas dan mendapatkan persetujuan penggunaan tanah MINDEF seluas kira-kira 28 hektar di Skudai.
Kerja awalan HSA 2 kemudian dimasukkan dalam Belanjawan Persekutuan. Kajian tanah, bengkel teknikal dan perancangan awal turut dilaporkan telah diselesaikan.

HSA 2 belum siap. Tetapi projek ini bergerak kerana ia diperjuangkan secara konsisten.
2. Mendesak pengisian ribuan jawatan kesihatan

Sejak 2023, Onn Hafiz telah membawa isu kekurangan hampir 2,800 doktor, jururawat dan petugas kesihatan Johor kepada KKM.

Isu ini bukan kecil. Kekurangan tenaga kerja menyebabkan jururawat menjaga terlalu ramai pesakit, doktor bekerja lebih masa dan masa menunggu semakin panjang.

Apabila pengisian jawatan masih tidak mencukupi, Kerajaan Johor memperuntukkan dana sendiri untuk membayar doktor locum di HSA, HSI dan Hospital Kulai.

Menjelang Ogos 2026, sebanyak RM4.636 juta dilaporkan diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

3. Mengurangkan kesesakan dan masa menunggu pesakit
Kerajaan Negeri membiayai Sistem Giliran Pintar di Poliklinik Pakar HSA dengan peruntukan RM1 juta.

Sistem ini dilaksanakan secara berfasa melibatkan 31 klinik pakar dan dianggarkan memberi manfaat kepada lebih 57,000 pesakit setiap bulan.

Kerajaan Negeri turut membiayai:
• Penghantaran ubat melalui pos secara percuma
• 348 Locker4U untuk pengambilan ubat
• Klinik Kesihatan Bergerak di 56 DUN
• Pemanjangan waktu operasi klinik terpilih
• Klinik Decanting untuk mengurangkan kesesakan klinik sedia ada
• Pendigitalan perkhidmatan kesihatan primer
Pesakit tidak sepatutnya mengambil cuti, menunggu berjam-jam dan menghabiskan wang perjalanan hanya untuk mengambil ubat susulan.

4. Menaik taraf fasiliti dan membeli peralatan

Kerajaan Johor turut menyalurkan peruntukan untuk:
• Menaik taraf Jabatan Kecemasan hospital
• Menaik taraf Klinik Kesihatan Gelang Patah, Majidee, Tebrau dan Kulai
• Membeli aset Oftalmologi dan Urologi
• Menyediakan lebih 1,000 katil hospital melalui kerjasama kerajaan, NGO dan swasta
• Memasang 40 mesin AED di lokasi awam
• Membeli ambulans untuk beberapa daerah
• Menyediakan katil ICU dan katil pengusung
• Membeli mikroskop pembedahan saraf
• Menyediakan peralatan kecemasan di sekolah agama
• Menaik taraf ratusan pantri untuk doktor, jururawat dan petugas hospital

Mungkin pantri nampak seperti perkara kecil.
Tetapi bagi petugas yang bekerja 12 hingga 18 jam, ruang untuk duduk, makan dan berehat dengan selesa bukan kemewahan. Itu keperluan asas.

5. Membantu operasi Hospital Pasir Gudang
Hospital Pasir Gudang mula dibina pada 2020, sebelum Onn Hafiz menjadi Menteri Besar.
Jadi tidak tepat untuk mengatakan hospital itu dibina sepenuhnya oleh pentadbiran beliau.

Namun Kerajaan Negeri memainkan peranan dalam memantau pengoperasian hospital, membantu menyediakan peralatan, menggerakkan Southern Volunteers Healthcare dan mendesak KKM mengisi lebih 1,000 kekosongan jawatan supaya hospital dapat beroperasi sepenuhnya.

6. Membawa perkhidmatan kesihatan lebih dekat kepada rakyat
Program Semarak Sihat Johor dilaksanakan di kesemua 56 DUN dengan aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan, pendidikan pemakanan, kesihatan mental, rehabilitasi dan gaya hidup sihat.

Kerajaan Negeri turut memperuntukkan dana tahunan untuk:
• Johor Bebas Denggi
• Pencegahan dadah di kawasan berisiko tinggi
• Program bebas asap rokok
• Saringan kesihatan mental
• Saringan mammogram dan ultrasound
• Kesedaran kanser serta kesihatan reproduktif wanita

7. Menjaga kebajikan petugas dan pesakit

Penghargaan kepada jururawat ditingkatkan secara berperingkat daripada RM200,000 pada 2023 kepada RM500,000 pada 2026.

Tambahan RM100,000 turut diberikan kepada Penolong Pegawai Perubatan.
Melalui Bantuan Kasih Johor dan MAINJ, bantuan turut disediakan kepada pesakit dialisis, kanser, jantung, penyakit kronik serta keluarga yang tidak mampu menanggung kos rawatan.
Ini bukan bermaksud semua masalah kesihatan Johor telah selesai.

HSA 2 masih belum siap. Hospital Pasir Gudang masih belum beroperasi pada kapasiti penuh. Kekosongan doktor dan jururawat masih tinggi. Kerajaan Persekutuan tetap perlu melaksanakan tanggungjawabnya.
Namun credit where it is due.

Sumbangan terbesar Onn Hafiz ialah mengubah peranan Kerajaan Negeri daripada sekadar pemerhati kepada rakan yang turut membiayai, mendesak dan mencari penyelesaian.

Dalam kesihatan, perjuangan bukan sekadar ucapan.
Ia mesti datang bersama peruntukan, tindakan dan pelaksanaan.

Sumber: Public Health Malaysia

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO