Hormati Mandat Rakyat, Beri Ruang MB Negeri Sembilan Jalankan Tugas
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar menyeru semua pihak memberi ruang kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim untuk melaksanakan amanah mentadbir negeri tanpa dipengaruhi spekulasi politik.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tampin berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan pentadbiran negeri baharu dapat berjalan lancar demi kepentingan rakyat.
“Rakyat sudah membuat pilihan. Apa yang penting sekarang adalah memastikan kerajaan negeri dapat bekerja dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Jangan kita membuang masa dengan spekulasi politik yang belum pasti kerana banyak perkara lebih utama perlu diberi perhatian,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam pada itu Suhaimizan turut sama menafikan spekulasi mengenai Pakatan Harapan (PH) akan menyertai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan.
Katanya, perkara tersebut adalah tidak benar kerana tiada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu.
“Tidak benar sama sekali dakwaan bahawa PH akan berada dalam barisan EXCO Negeri Sembilan. Perkara itu tidak pernah dibincangkan.
“Kita tidak mahu rakyat terus dibawa kepada polemik politik yang tidak memberikan manfaat kepada mereka,” ujar beliau.
Terdahulu Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menyaksikan kerajaan negeri baharu dibentuk hasil sokongan majoriti 25 daripada 36 kerusi DUN yang diperoleh gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online
