Noraini Sifatkan Kemenangan Calon Wanita BN Lambang Keyakinan Rakyat
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Kejayaan calon-calon wanita Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membuktikan keyakinan rakyat terhadap kemampuan wanita untuk memimpin, berkhidmat dan menjadi wakil rakyat yang berkesan.
Ketua Wanita Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kemenangan yang diraih khususnya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, S. Leza Md Yasin dan ADUN Labu, Siti Nur Umaira Hasim, bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya menjadi lambang kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan wanita dalam membawa suara masyarakat.

“Saya amat berbangga dengan kejayaan S. Leza Md Yasin dan Siti Nur Umaira Hasim. Kemenangan ini bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi lambang keyakinan rakyat terhadap kemampuan wanita untuk memimpin, berkhidmat dan membawa suara masyarakat ke medan perjuangan yang lebih besar.
“Semoga amanah yang diberikan ini dapat dilaksanakan dengan penuh integriti dan kasih sayang kepada rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh calon BN yang diberi mandat oleh rakyat, khususnya calon-calon Wanita BN yang disifatkan telah mempamerkan ketabahan, keberanian dan semangat juang luar biasa sepanjang kempen pilihan raya.
Menurut beliau, kemenangan yang dicapai juga merupakan hasil pengorbanan ribuan petugas parti yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen.
“Saya sendiri menyaksikan bagaimana seluruh jentera parti, para sukarelawan dan petugas di setiap peringkat berpanas, berhujan, mengetuk setiap pintu rumah dan menyantuni setiap pengundi dengan penuh keikhlasan.
“Jutaan terima kasih atas pengorbanan masa, tenaga dan jiwa yang dicurahkan demi memastikan kemenangan Barisan Nasional,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Dr Noraini menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang telah memberikan kepercayaan dan mandat kepada BN untuk terus menerajui negeri tersebut.
Katanya, mandat yang diberikan bukan hanya membawa makna kemenangan politik, malah merupakan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Insya-Allah, amanah ini akan kami laksanakan sebaik mungkin. Kepercayaan yang diberikan bukan sekadar satu kemenangan, tetapi satu janji untuk terus bekerja lebih kuat, mendengar denyut nadi rakyat dan memastikan setiap dasar yang dilaksanakan benar-benar membawa manfaat kepada semua,” katanya.
Beliau turut memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kemenangan yang dikurniakan kepada BN di Negeri Sembilan serta berharap kejayaan tersebut menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh khidmat kepada rakyat tanpa mengira latar belakang. – UMNO ONLINE
