Kerjasama BN-PN Bukti Kematangan Politik, Isyarat Positif Hadapi PRU Ke-16 – Mahdzir
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menzahirkan ucapan tahniah kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta seluruh kepimpinan BN dan Perikatan Nasional (PN) atas kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Negeri Sembilan.
Beliau berkata, kejayaan yang diraih bukan sahaja mencerminkan penerimaan rakyat terhadap gabungan kedua-dua parti, malah menjadi manifestasi harapan pengundi terhadap persefahaman politik yang dibina antara BN dan PN.

“Ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta seluruh kepimpinan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional atas kemenangan bergaya di PRN Ke-16 Negeri Sembilan.
“Penghargaan yang tidak terhingga juga harus dirakamkan kepada seluruh petugas serta jentera parti yang bertungkus-lumus untuk memastikan kemenangan malam ini. Komitmen dan usaha gigih anda semua adalah kunci kejayaan kita hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mahdzir, kemenangan tersebut turut membuktikan kematangan kerjasama politik antara BN dan PN yang berjaya diterjemahkan melalui kesatuan kepimpinan serta semangat muafakat sepanjang menghadapi pilihan raya.
Katanya, persefahaman yang dipamerkan kedua-dua gabungan itu menjadi faktor penting dalam meraih keyakinan rakyat sekali gus menghasilkan keputusan yang memberangsangkan.
Beliau berpandangan bahawa kemenangan di Negeri Sembilan perlu dijadikan petanda awal bahawa kerjasama erat antara BN dan PN mendapat sokongan yang semakin kukuh dalam kalangan rakyat.
“Justeru, kemenangan ini harus dianggap sebagai petanda awal bahawa kerjasama erat antara BN dan PN mendapat sokongan padu daripada rakyat, sekali gus wajar dijadikan strategi ampuh dalam mendepani pilihan raya yang akan datang,” ujarnya.
Tambah beliau, kejayaan tersebut diharapkan menjadi pemangkin untuk terus memperkukuhkan kerjasama, mempererat saf kepimpinan dan meningkatkan kesiapsiagaan jentera parti dalam menghadapi cabaran politik pada masa hadapan, termasuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16. – UMNO ONLINE
