Mandat Rakyat Tanggungjawab Besar, BN Komited Terus Perkukuh Kemajuan N. Sembilan
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menzahirkan rasa syukur atas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang menyaksikan rakyat memberikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan negeri.
Beliau berkata, keputusan tersebut mencerminkan kepercayaan rakyat yang perlu diterjemahkan melalui pentadbiran yang berintegriti, berkesan dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

“Alhamdulillah, keputusan PRN Negeri Sembilan telah memberikan mandat kepada BN dan Perikatan Nasional untuk membentuk kerajaan negeri. Terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan atas kepercayaan yang diberikan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mohamed Khaled turut berada di Wisma UMNO Negeri Sembilan bersama-sama kepimpinan, jentera dan penyokong BN bagi mengikuti keputusan PRN Negeri Sembilan.
Menurut beliau lagi, mandat yang diterima merupakan satu tanggungjawab besar dan kini adalah masanya untuk seluruh barisan kepimpinan bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan Negeri Sembilan terus kekal stabil, maju dan makmur.
Beliau turut menegaskan bahawa kemenangan yang dicapai bukan hanya milik parti semata-mata, sebaliknya merupakan kemenangan seluruh rakyat Negeri Sembilan yang mahukan sebuah kerajaan yang mampu membawa kemajuan serta kesejahteraan kepada negeri.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata pengalaman BN dalam mengurus kepelbagaian kaum, agama dan latar belakang masyarakat akan terus menjadi kekuatan utama dalam memacu pembangunan negeri.
Jelas beliau, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap lapisan rakyat dapat menikmati hasil kemajuan dan kemakmuran secara adil serta saksama.
“Insya-Allah, pengalaman BN mengurus kepelbagaian dan kemajmukan masyarakat akan terus menjadi kekuatan dalam memacu pembangunan negeri agar kemajuan dan kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya. – UMNO ONLINE
