Kemenangan Di PRN Negeri Sembilan Perlu Diterjemah Melalui Khidmat Terbaik Kepada Rakyat – Wan Rosdy
SEREMBAN, 2 Ogos – Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan rasa syukur atas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sambil menyifatkan kejayaan tersebut sebagai amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Kata Pengerusi BN Negeri Pahang itu, mandat yang telah diberikan oleh rakyat kini perlu diterjemahkan melalui khidmat bakti yang ikhlas, komitmen yang tidak berbelah bahagi serta usaha berterusan demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan Negeri Sembilan terus diperkasakan.

“Alhamdulillah, syukur. Mandat telahpun diberikan. Kini tiba masanya untuk seluruh wakil rakyat yang dipilih membalas kepercayaan tersebut dengan khidmat bakti, kerja yang ikhlas serta komitmen yang tidak berbelah bahagi demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Negeri Sembilan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Kongsinya juga, beliau turut bersama-sama jentera dan ahli-ahli BN menanti keputusan kiraan undi bagi PRN Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan, semalam.
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada BN serta semua jentera parti yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen.
Beliau turut memberikan penghargaan khusus kepada jentera BN dari Pahang yang telah berhempas pulas membantu gerak kerja pilihan raya sehingga menyumbang kepada kemenangan yang disifatkannya sebagai cukup istimewa dan bermakna.
“Kemenangan ini adalah hasil usaha bersama seluruh kepimpinan, jentera dan penyokong yang bekerja tanpa mengenal penat demi memastikan Barisan Nasional terus mendapat kepercayaan rakyat,” ujarnya.
Mengakhiri kenyataannya, Wan Rosdy berharap momentum kemenangan yang dicapai BN di Negeri Sembilan akan terus dipertahankan dan menjadi pemangkin kepada kejayaan lebih besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.
“Semoga momentum kemenangan Barisan Nasional ini terus berkekalan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16, insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE
