Tahniah BN Negeri Sembilan, Onn Hafiz Sifatkan Kemenangan Amanah Besar Rakyat

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT serta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan atas kejayaan mencatat kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Beliau berkata, kemenangan tersebut merupakan hasil kesatuan, kerja keras dan semangat juang seluruh kepimpinan serta jentera Barisan Nasional yang tidak pernah mengenal penat sepanjang tempoh berkempen.

Onn Hafiz turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias atas kepimpinan yang berjaya membawa kemenangan kepada gabungan itu.

“Tahniah juga diucapkan kepada seluruh calon Barisan Nasional yang telah diberikan mandat oleh rakyat untuk meneruskan khidmat kepada negeri dan masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera BN, kepimpinan parti di semua peringkat, para sukarelawan serta penyokong yang telah berkorban masa, tenaga dan keringat sepanjang kempen pilihan raya.

Menurut beliau yang juga Pengerusi BN Negeri Johor, penghargaan khusus turut diberikan kepada seluruh jentera BN Johor yang berkampung di Negeri Sembilan bagi membantu gerak kerja kempen sehingga berjaya menyumbang kepada kemenangan BN.

“Kemenangan ini adalah hasil usaha, kesatuan dan semangat juang seluruh keluarga besar Barisan Nasional yang sentiasa komited memastikan rakyat terus meletakkan kepercayaan kepada parti,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan memberikan mandat kepada BN untuk terus mentadbir negeri.

Katanya, kepercayaan yang diberikan bukan sekadar satu kemenangan, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu diterjemahkan melalui khidmat yang lebih kuat, pantas dan berkesan demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan.

Mengakhiri kenyataannya, Onn Hafiz mendoakan agar kepimpinan BN Negeri Sembilan terus dikurniakan kekuatan, kebijaksanaan dan petunjuk daripada Allah SWT dalam melaksanakan amanah dengan penuh integriti, keikhlasan dan rasa tanggungjawab.

“Insya-Allah, semoga Barisan Nasional Negeri Sembilan terus diberikan kekuatan untuk memimpin dan membawa kemajuan yang lebih cemerlang buat negeri serta rakyat,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO