Menang PRN N. Sembilan: Rozabil Ucap Tahniah, Hargai Pengorbanan Seluruh Jentera

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sambil menyifatkan kemenangan tersebut sebagai amanah besar yang perlu diterjemahkan dengan khidmat terbaik kepada rakyat.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua calon BN yang berjaya memperoleh kemenangan dan berharap mandat yang diberikan oleh rakyat dapat dipikul dengan penuh tanggungjawab demi memastikan Negeri Sembilan terus maju, makmur dan sejahtera.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan Barisan Nasional dalam PRN Negeri Sembilan kali ini. Tahniah kepada semua calon yang berjaya memperoleh kemenangan.

“Mandat yang diberikan rakyat ini hendaklah dipikul dengan penuh amanah dan tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Rozabil merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jentera parti yang telah bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen, khususnya Jentera Negeri Perlis yang membantu gerak kerja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Rahang dan Seremban Jaya.

Menurut beliau, segala pengorbanan masa, tenaga serta komitmen yang dicurahkan oleh para petugas menjadi antara faktor penting dalam memastikan kejayaan Barisan Nasional di kawasan-kawasan berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan selaku MKT Angkat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Angkat, Nadhirah Afiqah Rahim, serta jentera bahagian angkat daripada Sri Gading, Batu Pahat dan Tebrau yang bersama-sama berganding bahu sepanjang gerak kerja pilihan raya.
Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada jentera BN Rasah atas kerjasama erat serta layanan baik yang diberikan kepada seluruh pasukan yang bertugas.

Mengakhiri kenyataannya, Rozabil merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang telah memberikan kepercayaan kepada BN untuk meneruskan pentadbiran negeri.

“Insya-Allah, kepercayaan ini akan diterjemahkan melalui khidmat bakti yang terbaik demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Negeri Sembilan,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO