PRN NS: 65.38 Peratus Keluar Mengundi Setakat Jam 4 Petang – SPR
SEREMBAN, 1 Ogos – Sebanyak 65.38 peratus atau 562,133 daripada keseluruhan 859,760 pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, setakat jam 4 petang hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota mencatatkan peratus keluar mengundi tertinggi setakat ini dengan 72.1 peratus, diikuti DUN Seri Menanti dan DUN Labu masing-masing 70.9 peratus.

Manakala tiga DUN merekodkan peratusan keluar mengundi terendah iaitu di DUN Bahau, DUN Lukut dan DUN Lobak, kesemuanya 59 peratus.
Sebagai perbandingan, jumlah keluar mengundi bagi tempoh sama pada PRN ke-15 ialah 61.89 peratus atau 518,737 daripada 838,200 pengundi.
Dilaporkan, sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 dibuka serentak bermula 8 pagi tadi, membolehkan 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat dan menentukan kerajaan negeri untuk penggal akan datang.
Proses pengundian dijadualkan ditutup pada jam 6 petang dan SPR menyasarkan 72 hingga 75 peratus pengundi keluar mengundi.
Pada Selasa lalu, sebanyak 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.
PRN Negeri Sembilan kali ini memperlihatkan 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN, dengan Pakatan Harapan (PH) bertanding di kesemua kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) (25), Bersatu (24), Perikatan Nasional (PN) (11) dan empat calon Bebas, manakala Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing menampilkan seorang calon. – UMNO ONLINE
