PRN NS: Fokus Menang Kerusi, Persefahaman Politik Langkah Strategik
SEREMBAN, 21 Julai – Persefahaman politik yang dimeterai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan adalah satu langkah strategik dengan matlamat utama memastikan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seterusnya membentuk kerajaan negeri.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, segala strategi dan taktikal yang diputuskan oleh pucuk pimpinan dibuat berdasarkan dinamika politik semasa demi mencapai matlamat tersebut.

“Usaha yang dilakukan oleh pucuk pimpinan melalui dinamika politik ini bertujuan memastikan kita memperoleh kemenangan. Itu yang paling penting. Apa jua strategi atau taktikal yang dilaksanakan adalah untuk memastikan kita memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri.
“Dalam politik, apa yang kita lakukan mungkin dipandang tidak betul oleh pihak lain. Kita juga mempunyai pandangan berbeza terhadap mereka. Jadi, tidak perlu terlalu mempedulikan tanggapan tersebut. Jika kita yakin langkah yang diambil adalah betul dan sesuai dengan amalan serta praktis politik, maka kita teruskan,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berpandangan bahawa tidak salah untuk membawa model persefahaman tersebut ke negeri-negeri lain sekiranya dipersetujui oleh pucuk pimpinan parti.
“Apa salahnya kalau kita bawa ke negeri lain? Itu terpulang kepada pucuk pimpinan. Saya tidak dapat menyatakan ya atau tidak, sebab akhirnya nanti kita serah kepada keputusan pimpinan.
“Ini kerana persetujuan, persefahaman ini, dibuat secara kolektif bersama pucuk pimpinan. Dulu, kita buat keputusan ‘no Dap, no PPBM, no Anwar’. Tetapi apabila sampai satu masa lepas pilihan raya, kita tengok bahawa ia kena ada sedikit pengubahsuaian.
“Jadi, ambil keputusan tu secara responsibiliti, maknanya kolektif dan bersama. Misalkan sekali lagi kita ubah (bentuk kerjasama) kerana penyesuaian kepada masa, maka sudah tentu pada waktu itu boleh diubah. Ini bukan saja berlaku di Malaysia, di seluruh dunia pun, di mana-mana negara demokrasi, itu akan berlaku,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar kehadiran para jentera Negeri Kedah yang datang untuk membantu kempen di Parlimen Seremban akan memperkukuhkan lagi gerak kerja bagi memperoleh kemenangan.

“Saya berharap jentera yang datang membantu dari luar negeri, termasuk rombongan kami dari Kedah yang terdiri daripada kira-kira 50 orang, dapat memperkukuhkan gerak kerja jentera parti di Negeri Sembilan, khususnya di Seremban.
“Kita membantu kempen di DUN Lenggeng, selain menyokong calon-calon BN di DUN Nilai dan DUN Temiang serta rakan-rakan yang mempunyai persefahaman dengan kita di kawasan lain. Mudah-mudahan usaha ini dapat membantu memenangkan BN dan rakan-rakan dalam persefahaman politik,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang DIpertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
