Pelaksanaan Had Umur 16 Tahun Bagi Pendaftaran Akaun Media Sosial Perlu Pendekatan Menyeluruh
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Pelaksanaan had umur 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi pelbagai mekanisme, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, kanak-kanak dan remaja merupakan golongan yang berpotensi terdedah kepada pelbagai ancaman dalam media sosial.

“Kanak-kanak dan remaja merupakan golongan yang berpotensi terdedah kepada pelbagai ancaman seperti eksploitasi seksual dalam talian, buli siber, penipuan digital, penyebaran kandungan berbahaya dan aktiviti pengrekrutan jenayah melalui platform media sosial.
“Kalau kita tengok statistik, pada tahun 2024, kesalahan yang melibatkan seksual kanak-kanak di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sebanyak 69 kes telah dilaporkan. Manakala pada tahun 2025, jumlah ini meningkat dengan ketara kepada 146 kes.
“Justeru pelaksanaan had umur 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial yang diperkenalkan kerajaan ini merupakan langkah dasar yang wajar untuk dilaksanakan dalam mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada risiko keselamatan siber,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Ujarnya, pelaksanaan dasar tersebut selaras dengan inisiatif keselamatan dalam talian negara, termasuk kod perlindungan kanak-kanak (CPC) dan kod pengurangan risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan dan Talian 2025, iaitu Akta 866 yang telah pun berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 lalu.
“Ia turut bertanggungjawab mengukuhkan tanggungjawab platform digital dalam melindungi kanak-kanak. Dari aspek penguatkuasaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui jabatan-jabatan yang berkaitan mempunyai keupayaan untuk menyiasat kesalahan jenayah siber melibatkan kanak-kanak berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, seperti Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta 792 termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1958 serta undang-undang berkaitan lain mengikut fakta satu kes.
“Walau bagaimanapun, bagi menghadapi trend jenayah siber yang semakin kompleks ini, PDRM akan terus memperkukuhkan peralatan teknikal, meningkatkan kompetensi sumber manusia melalui latihan kepakaran dan kerjasama secara strategik dengan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (MCMC) dan CyberSecurity Malaysia.
“Dari perspektif forensik digital, Malaysia mempunyai ekosistem yang menyokong siasatan dan pendakwaan kes jenayah siber. Kesiapsiagaan ini akan terus kita perkukuhkan dari segi teknologi, kepakaran dan integrasi antara agensi yang penting bagi memastikan pengendalian bahan bukti digital dapat dilaksana secara lebih efektif, teratur dan sah dari segi undang-undang, selaras dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya lagi.
Tambahnya, pelbagai program telah dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM untuk memberi kesedaran awam yang lebih bersasar.
“Kalau kita lihat dari segi aspek kesedaran pencegahan, kerajaan melalui KDN dan PDRM terus memberi penekanan kepada pelaksanaan program-program literasi digital serta kesedaran awam lebih bersasar khususnya kepada golongan muda yang dikenal pasti sebagai antara kumpulan paling terdedah kepada jenayah penipuan dalam talian.
“Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, untuk rekod, sebanyak 5985 aktiviti pencegahan jenayah telah dilaksanakan di seluruh negara, merangkumi ceramah, pameran, kempen, media sosial, program advokasi komuniti dan hebahan melalui media sosial.
“Maknanya, pelaksanaan hak umur 16 tahun ke bawah ini memerlukan
pendekatan menyeluruh merangkumi mekanisme pengesahan umur yang berkesan, penguatkuasaan bersepadu dan pengukuhan ekosistem keselamatan digital negara bagi memastikan keseimbangan antara perlindungan kanak-kanak serta keperluan keselamatan siber negara,” katanya. – UMNO Online
