Pembaharuan Akta Kontrak Perkukuh Ekosistem Perundangan Komersial Negara

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan semakan dan pembaharuan Akta Kontrak 1950 (Akta 136) secara menyeluruh.

Sehubungan dengan itu beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata pada 14 Januari 2025 Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Kontrak ditubuhkan bagi menerajui kajian ini serta mengemukakan syor-syor pembaharuan terhadap Akta 136.

“Komposisi Jawatankuasa ini dibentuk secara inklusif yang merangkumi badan kehakiman, ahli akademik tempatan dan antarabangsa, pengamal undang-undang, sektor perniagaan serta pegawai kerajaan, termasuk wakil daripada Sabah dan Sarawak bagi memastikan setiap perspektif wilayah dan bidang kepakaran diambil kira dalam proses pembaharuan ini.

“Bagi meneliti kesemua 191 peruntukan Akta 136 secara menyeluruh, Jawatankuasa ini telah menubuhkan 8 Kumpulan Kerja, yang masing-masing diketuai oleh satu atau dua ahli Jawatankuasa dan dianggotai lapan hingga 10 pakar pelbagai sektor,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika Penerangan Menteri Di Bawah Perenggan 27 (3), Mesyuarat Dewan Rakyat Peraturan Mesyuarat 16 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu beliau memaklumkan laporan akhir yang dikemukakan menghimpunkan tiga kajian utama Jawatankuasa ke dalam satu naskhah yang komprehensif, antaranya kajian semakan dan pembaharuan Akta 136 itu, yang menggariskan cadangan pemodenan bahasa, struktur dan doktrin sedia ada.

“Kedua, cadangan RUU Kontrak (Hak Pihak Ketiga), bagi mengiktiraf hak pihak ketiga untuk menguatkuasakan terma kontrak yang dirangka untuk manfaat mereka — sesuatu yang tidak pernah diperuntukkan secara jelas dalam Akta 136 sehingga kini.

“Ketiga, cadangan RUU Agensi, bagi menggantikan Bahagian X Akta 136 dengan kerangka agensi yang lebih moden, termasuk mengambil kira isu-isu baharu seperti penggunaan kecerdasan buatan dalam urus niaga komersial.

“Ketiga-tiga kajian ini, walaupun berasingan dari segi skop, saling berkait dan disusun bersama dalam satu Laporan Akhir bagi memberi gambaran menyeluruh mengenai hala tuju pembaharuan undang-undang kontrak negara secara keseluruhan,” ujar beliau.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Pengerang itu menambah reformasi ini dijangka meningkatkan kepastian undang-undang, mengurangkan kos transaksi dan pertikaian komersial serta menyelaraskan kerangka komersial Malaysia dengan piawaian ASEAN dan global dalam era ekonomi digital.

“Usaha pembaharuan undang-undang kontrak ini merupakan langkah strategik Kerajaan MADANI dalam memurnikan ekosistem perundangan komersial negara,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO