‘AI Generatif, Deepfake Buka Ruang Baharu Kepada Pemangsa Seksual’
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berpandangan dunia hari ini berdepan dengan satu realiti baharu iaitu peningkatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif, deepfake yang telah membuka ruang cukup luas kepada pemangsa seksual.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin berkata lebih membimbangkan, teknologi AI mampu menghasilkan imej atau video palsu yang kelihatan sangat meyakinkan, termasuklah kandungan seksual menyerupai kanak-kanak.
“Walaupun kandungan itu tidak melibatkan mangsa sebenar, kesannya tetap serius kerana boleh digunakan untuk memalukan, mengugut dan menormalisasikan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.
“Dalam erti kata lain, bahaya teknologi ini bukan sahaja terhad kepada penciptaan bahan tetapi ianya juga pada penyebaran, penyimpanan, pertukaran dan penggunaannya sebagai alat ugutan,” katanya.
Mohd Isam berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-undang Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau jika kerajaan benar-benar mahu melindungi kanak-kanak maka pendidikan pencegahan adalah benteng terbaik dan mesti menjadi sebahagian daripada strategi utama negara.
“Saya berpandangan bahawa pendidikan keselamatan seksual yang bersesuaian dengan umur perlu diperkukuh di sekolah, di rumah dan dalam komuniti.
“Kanak-kanak perlu diajar dengan bahasa yang mudah, sesuai dengan tahap perkembangan supaya mereka tahu membezakan sentuhan selamat dan tidak selamat, memahami hak terhadap tubuh badan sendiri, serta berani berkata “tidak” dan melapor apabila berasa tidak selesa.
“Namun pendidikan pencegahan tidak boleh berhenti pada pengetahuan asas sahaja. Dalam konteks hari ini, kanak-kanak juga perlu dididik tentang keselamatan digital,” ujar beliau. – UMNO Online
