Malaysia Terus Diterima Sebagai Pengantara Dipercayai Dalam Usaha Damai Myanmar

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Pendekatan diplomasi yang dibawa Kerajaan MADANI dalam menangani krisis Myanmar terus mendapat perhatian apabila negara itu menunjukkan keterbukaan yang lebih baik terhadap cadangan dan usaha perdamaian yang diketengahkan Malaysia serta ASEAN.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkembangan tersebut merupakan petanda positif hasil usaha berterusan Malaysia yang konsisten memperjuangkan keamanan dan kestabilan serantau melalui platform ASEAN.

Menurut beliau, lawatan ke Nay Pyi Taw pada 19 Mei lalu bukan bertujuan mengiktiraf mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan saluran komunikasi terus terbuka demi mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk rakyat Myanmar.

“Saya melihat pihak Myanmar kali ini lebih terbuka dengan cadangan yang diutarakan, jika dibandingkan dengan interaksi kita sebelum ini. Ini memberi ruang kepada ASEAN untuk terus memainkan peranan yang lebih berkesan dalam membantu proses perdamaian di negara tersebut,” katanya ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Selayang, Indera Mahkota dan Bakri yang menyentuh perkembangan terkini krisis Myanmar serta peranan Malaysia dalam usaha penyelesaiannya.

Mohamad menjelaskan bahawa Malaysia tetap berpegang teguh kepada Kemuafakatan Lima Perkara (Five-Point Consensus – 5PC) yang dipersetujui para pemimpin ASEAN sebagai kerangka utama dalam mencari penyelesaian jangka panjang terhadap konflik berkenaan.

Katanya, dalam pertemuan bersama Menteri Luar Myanmar yang baharu, U Tin Maung Swe, Malaysia telah mengemukakan beberapa cadangan penting termasuk usaha mempercepatkan pelaksanaan 5PC, mengadakan dialog terangkum melibatkan semua pihak berkepentingan serta meneroka kaedah baharu bagi mewujudkan keamanan yang berkekalan.

“Malaysia menitikberatkan pendekatan yang terangkum dalam menangani isu Myanmar, yang melibatkan semua pihak berkepentingan dan tidak hanya tertumpu kepada pihak-pihak tertentu sahaja,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, beliau turut membangkitkan isu kemanusiaan termasuk pembebasan tahanan politik, penyelesaian isu pelarian Rohingya serta kerjasama dalam membanteras jenayah kewangan dalam talian yang semakin membimbangkan.

Mohamad turut mendedahkan bahawa Malaysia telah mencadangkan pendekatan federalisme dan penubuhan wilayah autonomi sebagai antara pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh Myanmar bagi mengimbangi kepelbagaian etnik serta mewujudkan kestabilan politik yang lebih mampan.

Menurut beliau lagi, kepimpinan Malaysia di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha perdamaian serantau melalui siri libat urus dengan pelbagai pemegang taruh termasuk National Unity Government (NUG), People’s Defence Force (PDF) dan kumpulan etnik bersenjata.

“Malaysia terus menggesa semua pihak yang terlibat untuk menghentikan keganasan serta mewujudkan gencatan senjata dalam menyokong usaha perdamaian di Myanmar,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan pragmatik dan menyeluruh yang dibawa Malaysia membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan ASEAN terus relevan sebagai platform utama bagi menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO