Kehadiran Aktif Persidangan Wanita, Pemuda, Puteri Cermin Kekuatan UMNO Lahad Datu

LAHAD DATU, 24 Jun – Kehadiran yang memberangsangkan serta penglibatan aktif ahli-ahli Wanita, Pemuda dan Puteri dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lahad Datu tahun 2026 menjadi bukti jelas bahawa UMNO bahagian terbabit terus memiliki barisan kepimpinan dan ahli yang berkualiti, berdisiplin serta komited dalam meneruskan perjuangan parti.

Ketuanya, Sharif Musa Sharif Mabul berkata, kejayaan penganjuran mesyuarat bagi ketiga-tiga sayap parti itu mencerminkan kekuatan organisasi yang sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa, selain memperkukuhkan kesatuan dalam kalangan ahli di semua peringkat.

Menurut beliau, semangat yang ditunjukkan oleh Wanita, Pemuda dan Puteri sepanjang berlangsungnya mesyuarat bukan sahaja menggambarkan kesetiaan kepada parti, malah membuktikan bahawa UMNO terus mendapat sokongan kukuh daripada akar umbi.

“Wanita UMNO sentiasa menjadi tonggak kekuatan parti dengan ketabahan dan pengorbanan yang tidak pernah mengenal erti lelah. Pemuda pula terus memainkan peranan penting sebagai penggerak utama yang mendekati golongan muda dan masyarakat, manakala Puteri membawa idea serta pendekatan baharu yang membantu memperkukuhkan perjuangan parti,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau menambah, gabungan pengalaman, tenaga dan kreativiti yang dimiliki oleh ketiga-tiga sayap tersebut merupakan aset penting dalam memastikan UMNO Bahagian Lahad Datu terus relevan dan diyakini rakyat.

Sharif Musa turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan ahli yang hadir serta mengambil bahagian secara aktif dalam mesyuarat tersebut.

Katanya, kehadiran yang begitu menggalakkan membuktikan semangat perjuangan dalam kalangan ahli masih utuh dan menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan parti pada masa hadapan.

Dalam masa yang sama, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pemimpin gabungan negeri Sabah yang sudi meluangkan masa menghadiri program berkenaan.

“Inilah cerminan semangat perpaduan, kerjasama dan kesepakatan yang erat dalam memperjuangkan kepentingan rakyat serta pembangunan negeri Sabah.

“Pandangan dan pengalaman yang dikongsikan oleh para pemimpin yang hadir memberikan inspirasi dan suntikan semangat kepada seluruh ahli untuk terus bekerja kuat serta memperkukuhkan perjuangan parti,” ujarnya.

Beliau berharap semangat, kesungguhan dan iltizam yang ditunjukkan oleh seluruh ahli Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lahad Datu akan terus menjadi inspirasi kepada generasi pelapis malah yakin mampu melahirkan pemimpin berwibawa untuk menjadi wadah perjuangan bagi terus membela rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO