Gabungan 521 Entiti Veteran ATM Satukan Suara, Perkukuh Kebajikan Warga Veteran

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Penubuhan Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM dilihat mampu menyatukan suara warga veteran melalui satu wadah yang lebih tersusun, melibatkan 116 persatuan induk dan 405 cawangan di seluruh negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah merasmikan Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM di Bangi pada 27 April lalu.

“Berkesempatan menghadiri majlis makan tengah hari bersama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM yang selesai mengadakan mesyuarat pertama mereka di Kementerian Pertahanan.

“Sebelum ini, pada 27 April lalu, saya telah merasmikan Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM di Bangi.

“Penubuhan gabungan ini adalah susulan keputusan Majlis Veteran Kebangsaan pada tahun 2024 yang melibatkan 116 persatuan induk dan 405 cawangan, menjadikan keseluruhan 521 entiti,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, gabungan tersebut menjadi wadah untuk seluruh veteran bergerak seiring.

“Dengan jumlah persatuan yang begitu besar, gabungan ini penting untuk memastikan suara veteran dapat disatukan, disusun dan dibawa dengan lebih berkesan.

“Ia juga menjadi wadah untuk seluruh persatuan veteran bergerak seiring, membincangkan pelbagai isu dan cabaran, serta merancang masa hadapan warga veteran secara bersama.

“Saya berharap usaha ini akan terus mendapat sokongan semua pihak agar segala perkara berkaitan veteran dapat dibincangkan dan diselesaikan secara bersama demi kesejahteraan warga veteran ATM,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO