210 Peneroka FELDA Terima Hak Milik, Walau Ada ‘Tangan Ghaib’ – Onn Hafiz
JOHOR BAHRU, 24 Jun – Komitmen Kerajaan Negeri Johor dalam membela nasib warga FELDA terus diterjemahkan apabila seramai 210 peneroka menerima hak milik tanah masing-masing, walaupun wujud pihak tertentu yang didakwa cuba menghalang penganjuran Sambutan Hari Peneroka FELDA pada 21 Jun lalu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, walaupun sambutan yang dirancang tidak dapat diteruskan susulan keputusan di peringkat tertinggi, perkara itu tidak sesekali melunturkan usaha kerajaan negeri untuk memastikan hak peneroka terus dipelihara.
Menurut beliau, terdapat “tangan ghaib” yang menghalang pelaksanaan program tersebut, namun keutamaan tetap diberikan kepada agenda rakyat, khususnya warga FELDA yang sekian lama menunggu penyelesaian isu hak milik tanah.

“Walaupun sambutan Hari Peneroka FELDA yang dirancang pada 21 Jun tahun ini tidak dapat diteruskan berikutan keputusan di peringkat tertinggi, ia tidak sekali-kali melunturkan semangat Kerajaan Negeri untuk terus mengadakan program Penyerahan Hak Milik Tanah Peneroka FELDA semalam,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa dakwaan yang mengaitkan pembatalan program itu dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atau pihak FELDA adalah tidak benar.
Sebaliknya, Onn Hafiz merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zahid selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, atas kerjasama dan komitmen mereka dalam menjayakan program penyerahan hak milik tanah kepada peneroka.
“Seperti yang difitnah oleh pelbagai pihak, saya tidak dapat mengadakan program pada 21 Jun bukan sebab mereka. Ada ‘tangan ghaib’ yang menghalang.
“Penantian 210 peneroka FELDA di Johor menerima hak milik masing-masing dilangsungkan dengan baik dan lancar semalam di luar kawasan FELDA. Penyerahan ini turut melengkapkan penyelesaian 27,639 hak milik peneroka FELDA di seluruh negeri atau 99.99 peratus daripada keseluruhan peneroka FELDA di Johor, sekali gus memastikan lebih ramai warga FELDA mendapat hak yang sewajarnya.”

Selain itu, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada masa depan Generasi Kedua FELDA apabila sebanyak 10,663 permohonan lot atau 86 peratus daripada keseluruhan permohonan telah diluluskan setakat ini.
Dalam tempoh 2022 hingga 2026 ujarnya, Kerajaan Negeri Johor juga telah memperuntukkan RM36.19 juta bagi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada peneroka, generasi FELDA, belia, wanita dan komuniti FELDA di seluruh negeri.
“Semoga segala usaha yang dilaksanakan ini akan terus memperkukuh kebajikan warga FELDA, menjaga kepentingan generasi penerus serta memastikan legasi perjuangan para peneroka dapat diwarisi dan dihargai buat selama-lamanya. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
