Johor Perlukan Kestabilan, Bukan Medan Eksperimen Politik – Mohd Zaidi
JOHOR BAHRU, 24 Jun – Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain menegaskan bahawa Johor tidak seharusnya dijadikan medan eksperimen politik oleh mana-mana pihak yang masih mencari hala tuju dan belum mempunyai rekod pentadbiran yang meyakinkan.
Menurut beliau, rakyat Johor lebih memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman serta mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam membawa pembangunan, pertumbuhan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

“Johor bukan tempat untuk menguji teori politik baharu atau mencuba nasib dengan parti yang masih mencari arah. Rakyat mahukan kestabilan dan kepimpinan yang telah terbukti mampu mentadbir dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengingatkan bahawa negara pernah melalui fasa ketidaktentuan akibat perubahan politik yang memberi kesan kepada kestabilan pentadbiran dan keyakinan pelabur.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Johor supaya mengambil iktibar daripada pengalaman lalu dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.
“Johor memerlukan kestabilan yang terbukti, bukannya eksperimen politik. Masa depan negeri ini perlu dibina atas asas pengalaman, kecekapan dan komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun ini, manakala hari mengundi awal 7 Julai.
Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 27 Jun 2026 (Sabtu) sehingga jam 11.59 malam, 10 Julai 2026 (Jumaat).
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) Dewan Negeri Johor Ke-16 mengandungi seramai 2,727,926 pemilih yang terdiri daripada 2,703,175 orang pengundi biasa manakala 12,041 tentera serta pasangan dan 12,710 polis serta pasangan. – UMNO Online
