Pelan Transformasi Ekonomi Johor Untuk Bangsa Johor Jadi Negeri Maju

1) Apakah antara matlamat yang terpenting dalam suatu perjuangan politik? Iaitulah sedikit kuasa yang ada diberi oleh rakyat ketika pilihan raya hendaklah digunakan untuk membantu semula rakyat – melalui pendidikan, kemahiran, pekerjaan, perniagaan, pelaburan, kebajikan demi manfaat kehidupan seharian rakyat.

2) Maka atas hala tuju falsafah politik yang murni, saya turut hadir bersama ribuan yang lain sewaktu Pelan Transformasi Ekonomi Johor, JETP dilancarkan oleh YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, MB Johor di Persada JB pada Khamis 18/6/26. JETP, Johor Economic Transformation Plan adalah suatu “game changer” dan “paradigm shift” dalam sejarah pembangunan negeri Johor.

3) Pelan Transformasi ini boleh diteliti melalui link berikut: https://jetp.bpenj.my/ . Pada waktu lapang silalah anda rujuk untuk mengetahui masa depan ekonomi negeri Johor dan pembangunan mega yang praktikal disedia melalui banyak libat urus. JETP dipandu oleh YAB MB Johor dan dibantu disedia oleh Exco YB Lee Ting Han serta Datuk Seri Dr Idris Jala, bekas Menteri yang pernah ditugaskan untuk menyedia makmal pembangunan untuk Malaysia suatu masa ketika era BN memerintah dahulu.

4) Secara inklusif JETP adalah usaha di bawah Pelan Maju Johor yang meliputi 6 perkara dasar iaitu:
a) Urus Tadbir Kerajaan
b) Pembangunan Ekonomi
c) Jaringan Keselamatan Sosial
d) Kemudahan dan Keperluan Asas
e) Keselamatan, Kebersihan, Kelestarian Alam Sekitar
f) Orang Muda.

5) JETP mengandungi pelan ekonomi untuk pembangunan 10 daerah di Johor melibatkan industri kimia / petrokimia, penjagaan kesihatan / farmasi, tenaga, E & E / Pusat Data, Aeroangkasa, Logistik, Pelancongan dan Pertanian. Semuanya diatur untuk rakyat, sektor swasta, negeri Johor khasnya dan negara Malaysia pada amnya.

6) Kepada yang melihat pelbagai kehebatan industri dan pembangunan 10 daerah dalam JETP, tentu mereka faham bahawa begitu besar peluang perniagaan, jumlah pekerjaan bergaji tinggi, pelaburan dan peruntukan yang banyak disalurkan apabila pelan itu dilakanakan.

7) Semua ikhtiar JETP adalah untuk menjadikan Johor negeri maju menjelang 2030, sekitar 3 tahun setengah sahaja lagi. Bangsa Johor yang melibatkan pelbagai kaum Melayu, Cina, India, Asli dan lain-lain kaum mesti jadi bangsa yang maju dalam semua sudut. Ini sebenarnya yang kita impikan, negeri yang maju dan rakyatnya juga maju dalam pelbagai bidang.

8) Pasukan yang diketuai oleh MB Johor, Exconya, pimpinan politik, tokoh agama, pegawai Kerajaan, penjawat awam, ahli akademik, profesional, peneraju swasta, pemimpin akar umbi, NGO perlu melangkah sederap bagi memastikan hasrat mulia itu dapat dicapai. Bukan mudah untuk tingkatkan saiz ekonomi Johor yang bernilai rm158 bilion pada 2024 kepada rm201 bilion pada 2030 kelak jika pasukan yang diberi tanggungjawab tidak kompeten, tidak layak dan tidak berupaya.

9) Kerajaan yang stabil dengan pasukan yang cekap, beretika, berkesan dan berpandangan jauh ke hadapan sangat diperlukan. Oleh itu, Pasukan Barisan Nasional wajar diberi mandat semula pada PRN 11 Julai 2026 ini demi mencapai JETP dan Maju Johor. Terima kasih setinggi dan setulusnya atas sokongan serta undi anda semua. Kami sangat menghargai setiap undi yang akan diberikan.


Nota YB DATUK SERI DR AHMAD MASLAN
Ahli Parlimen Pontian
Timbalan Pengerusi UMNO Johor
Ahli MKT & Timbalan Menteri Kerja Raya

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO