RUU Jenayah Siber 2026 Dibentang di Dewan Rakyat, Ganti Akta Jenayah Komputer 1997

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini membentangkan bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat sebagai langkah memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman keselamatan siber yang semakin kompleks.

Menurut beliau, RUU berkenaan akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada 1 Julai 2026 sebelum dipertimbangkan untuk diluluskan oleh Parlimen.

RUU Jenayah Siber 2026 dicadangkan bagi memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 dan menggantikannya dengan kerangka perundangan yang lebih komprehensif sejajar dengan perkembangan ancaman siber semasa. Ia juga bertujuan memastikan Malaysia memenuhi obligasi antarabangsa di bawah Council of Europe Convention on Cybercrime dan United Nations Convention Against Cybercrime.

Di bawah cadangan baharu itu, kuasa kawal selia dan penguatkuasaan berkaitan jenayah siber akan diletakkan di bawah Agensi Keselamatan Siber Negara yang bernaung di bawah Majlis Keselamatan Negara.

Ahmad Zahid yang Menteri Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ancaman jenayah siber kini bukan sahaja melibatkan pencerobohan sistem komputer dan kecurian data, malah turut merangkumi kecurian identiti, penipuan dalam talian, eksploitasi siber, serangan perisian tebusan (ransomware) serta penyalahgunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).

“RUU Jenayah Siber 2026 amat penting bagi mencegah dan memerangi jenayah siber yang semakin canggih dan kompleks,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menjelaskan, RUU tersebut mengandungi lapan bahagian dan 61 fasal yang dirangka untuk memperkukuh keupayaan negara dalam menangani ancaman keselamatan siber serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang berkaitan.

Menurutnya, penggubalan undang-undang baharu itu akan membantu menambah baik ekosistem keselamatan siber negara, sekali gus menjamin persekitaran digital yang lebih selamat, terpelihara dan dipercayai.

Selain melindungi rakyat daripada ancaman jenayah siber, beliau berkata kerangka perundangan yang lebih mampan itu juga dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi digital, menggalakkan inovasi serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO