Wanita UMNO Perkasa Gerak Kerja Digital Depani Pilihan Raya

SEREMBAN, 19 Jun – Wanita UMNO terus diperkasakan sebagai barisan hadapan parti dengan memperluaskan penguasaan komunikasi media dan digital bagi melengkapkan gerak kerja lapangan menjelang pilihan raya.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, jentera Wanita kini telah bersedia dan berada dalam fasa pelaksanaan, dengan tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh sokongan rakyat melalui pendekatan yang lebih moden dan berkesan.

Menurut beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, kekuatan Wanita UMNO yang terbukti selama ini perlu diperkasakan lagi dengan memanfaatkan platform digital sebagai medium untuk menyampaikan maklumat, mendekati masyarakat serta memperluaskan capaian mesej parti.

“Kita bukan sahaja mempunyai jentera yang kuat di lapangan, malah wanita juga mampu menjadi penggerak komunikasi digital yang berkesan. Gerak kerja secara bersemuka perlu dilengkapkan dengan kekuatan media sosial dan aplikasi digital agar mesej parti sampai kepada lebih ramai rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Kursus Kenegaraan MADANI: Komunikasi Media dan Digital Pemimpin Komuniti dan Wanita Negeri Sembilan, hari ini.

Beliau berkata, wanita mempunyai kreativiti, kepekaan dan kebolehan mengikuti perkembangan semasa, sekali gus menjadikan mereka aset penting dalam memperkukuhkan Jalinan Rakyat (JR) dengan aplikasi digital untuk menyampaikan maklumat yang sahih, pantas dan berkesan.

Dalam masa sama, Dr Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong mengajak seluruh jentera Wanita terus berganding bahu memastikan rakyat memahami kepentingan mengekalkan kestabilan politik demi menjamin kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan negara.

Turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid; Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob bersama kepimpinan Wanita UMNO negeri dan bahagian tempatan.

Dilaporkan, UMNO/Barisan Nasional bakal berdepan pilihan raya dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijadual pada 11 Julai sementara PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos kelak. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO