Wanita UMNO Terus Komited Memperkasa Parti, Dampingi Rakyat – Noraini
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyeru jentera Wanita untuk memperkemaskan gerak kerja serta memperkukuh hubungan dengan masyarakat sebagai persediaan menghadapi cabaran politik semasa.
Menurut beliau ini kerana kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya diukur melalui jumlah keahlian, sebaliknya kepada komitmen serta kesungguhan untuk terus berbakti kepada masyarakat.
Noraini yang Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Batu Pahat pada hujung minggu lalu.
“Saya menyeru kepada seluruh jentera dan ahli Wanita UMNO Bahagian Batu Pahat agar terus istiqamah menggalas amanah perjuangan.
“Kekuatan Wanita bukan sahaja terletak pada jumlah keahlian yang besar tetapi juga pada kesanggupan mereka untuk terus bekerja, berkhidmat dan menyantuni rakyat tanpa mengira masa dan keadaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Zaidi Japar; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat merangkap ADUN Senggarang, Yusla Ismail; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor merangkap ADUN Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Bakri yang hadir mewakili Badan Perhubungan Wanita UMNO Negeri Johor, Safiah Semon.
Noraini dalam pada itu turut sama merakamkan ucapan tahniah kepada kepimpinan Wanita UMNO Bahagian Batu Pahat atas kejayaan menganjurkan mesyuarat yang berlangsung dalam suasana teratur dan penuh semangat kekeluargaan.
Beliau malah berharap hubungan yang terjalin dalam kalangan ahli akan terus diperkukuhkan, sekali gus mempererat kesatuan saf perjuangan demi memastikan parti terus melakar kejayaan pada masa akan datang. – UMNO Online
