Inisiatif Rakyat Jadi Fokus, Jualan Sejahtera Ringankan Beban Kos Sara Hidup
SLIM RIVER, 11 Jun – Program Jualan Sejahtera Rakyat di Behrang terus mendapat sambutan menggalakkan apabila penduduk setempat memanfaatkan peluang membeli barangan keperluan harian pada harga lebih rendah, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin berkata, usaha seperti ini merupakan antara pendekatan berterusan kerajaan negeri dalam memastikan manfaat pembangunan sampai terus kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Apabila rakyat dapat berjimat walaupun sedikit dalam perbelanjaan harian, ia memberi makna besar kepada kehidupan mereka. Inilah yang kita mahu lihat iaitu kesejahteraan yang dirasai secara langsung oleh masyarakat,” katanya.
Menurut beliau yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia, sambutan yang diterima jelas menunjukkan keperluan program seumpama itu diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai keluarga dapat menikmati manfaatnya.
Dalam pada itu, suasana kemeriahan turut dapat dilihat dalam pelbagai program komuniti di daerah Muallim yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada kebajikan, malah mengeratkan hubungan masyarakat.
Salina berkata, penganjuran aktiviti seperti majlis perkahwinan, aqiqah dan program sukan turut memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat setempat.
“Bila kita lihat masyarakat hadir bersama-sama dalam program seperti ini, ia bukan sekadar majlis atau pertandingan, tetapi satu platform mengeratkan silaturahim dan semangat perpaduan,” ujarnya.
Beliau turut merujuk kepada Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala YB Salina yang mendapat sambutan termasuk penyertaan pasukan wanita, sebagai bukti perkembangan positif budaya sukan dalam kalangan masyarakat.

“Yang penting bukan hanya menang atau kalah, tetapi semangat kesukanan, disiplin dan kebersamaan yang kita bina bersama,” katanya.
Menurut beliau lagi, pendekatan menyeluruh melibatkan kebajikan, sosial dan sukan akan terus diperkukuh bagi memastikan masyarakat Muallim menikmati kesejahteraan yang lebih inklusif dan seimbang.
“Insya-Allah, kita akan terus pastikan program seperti ini memberi manfaat langsung kepada rakyat dan mengukuhkan hubungan dalam komuniti,” tambah beliau lagi. – UMNO Online
