UMNO Tak Perlu ‘Overclaim’, Fakta Tetap Fakta – Sollehin

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menyifatkan cubaan sesetengah pihak memperkecilkan peranan UMNO dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan sebagai tindakan yang tidak berpijak pada realiti politik negara.

Menurutnya, UMNO tidak pernah berlebihan dalam menuntut penghargaan atau pengiktirafan, namun fakta sejarah tetap perlu dihormati dan diakui secara jujur.

“UMNO tak perlu nak ‘overclaim’ pun. Memang hakikat yang mungkin sukar untuk ditelan oleh PH. Kalau UMNO tidak membuat keputusan menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan. Entah-entah sampai hari ini PMX pun tidak berpeluang memperkenalkan istilah ‘tatakelola’ dan ‘ketimbang’ kepada rakyat.

“Politik bukan sekadar pandai berpidato atau berdebat, tetapi kemampuan meyakinkan rakyat di gelanggang sebenar,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Mengulas lanjut Sollehin yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang menyifatkan cubaan memperkecilkan sumbangan UMNO sebagai satu bentuk sikap tidak mengenang jasa yang hanya merugikan kematangan politik negara.

“Kalau nak berbahas, berbahaslah dengan fakta. Jangan terlalu mudah memperkecilkan pengorbanan pihak lain dalam membentuk kerajaan yang ada hari ini,” katanya lagi.

Tambah Sollehin lagi, kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim yang dilihat lebih gemar mengeluarkan kenyataan politik berbanding membuktikan kekuatan sokongan di kawasan sendiri.

“Dengar kata Kamil sendiri bercadang bertanding semula di Parlimen Padang Rengas. Kita tengoklah nanti di PRU akan datang. Biar rakyat Padang Rengas akan menjadi hakim,” ujarnya.

Terdahulu Mohd Kamil berkata kenyataan Ahmad Zahid bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan terbentuk tanpa sokongan gabungan itu adalah sesuatu yang angkuh, sambil menyifatkan ia tidak mencerminkan semangat sebenar kerjasama politik masa kini.

Beliau turut melabel pihak yang membangkitkan isu ini sebagai “parasit” yang cuba mencatur kuasa ketika Perdana Menteri sibuk mengukuhkan ekonomi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO