BN Tidak Angkuh, Jangan Kelirukan Rakyat
Saudara Kamil Munim,
Dalam politik gabungan, ada perbezaan besar antara mendabik dada dan menyatakan fakta. Apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyebut bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan terbentuk tanpa sokongan Barisan Nasional, kenyataan itu tidak perlu dibaca sebagai keangkuhan. Ia wajar dibaca sebagai satu kenyataan politik yang berasaskan realiti pasca PRU15.
Namun, apabila saudara memilih untuk melabel kenyataan itu sebagai “overclaim”, “angkuh” dan seolah-olah BN sedang mendakwa dirinya sebagai pemilik tunggal Kerajaan Perpaduan, kita perlu melihat perkara ini dengan lebih mendalam. Kenyataan Kamil bukan sekadar teguran biasa. Ia adalah satu gerakan naratif yang mempunyai tujuan strategik: menukar kekuatan fakta BN menjadi beban moral kepada BN.
Di sinilah persoalan sebenar bermula.

Tidak ada sesiapa pun dalam BN yang mendakwa Kerajaan Perpaduan adalah milik BN seorang. Tidak ada sesiapa pun menafikan peranan PH, GPS, GRS, Warisan dan rakan-rakan lain dalam membentuk kerajaan hari ini. Tetapi mengakui peranan semua pihak tidak bermaksud kita perlu memadam hakikat bahawa BN memainkan peranan penentu dalam saat paling kritikal selepas PRU15.
Selepas PRU15, negara berada dalam keadaan Parlimen tergantung. Tiada gabungan politik memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Dalam keadaan sebegitu, politik tidak lagi ditentukan semata-mata oleh siapa mempunyai kerusi paling banyak, tetapi siapa yang mampu melengkapkan majoriti dan menjadikan kerajaan itu boleh wujud.
Itu bukan angkuh. Itu matematik.
PH boleh menjadi blok terbesar. Tetapi blok terbesar tanpa majoriti tetap belum menjadi kerajaan.
Dalam sistem demokrasi berparlimen, kerajaan hanya boleh terbentuk apabila ada sokongan mencukupi di Dewan Rakyat. Maka apabila BN memilih untuk bersama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan, BN bukan sekadar menambah angka. BN menjadikan sebuah kerajaan yang stabil itu mungkin.
Ini yang cuba dikaburkan oleh kenyataan saudara.
Strategi saudara jelas.
Pertama, saudara cuba mengubah perbahasan daripada soal fakta kepada soal perwatakan. Daripada membahaskan sama ada benar atau tidak BN menjadi faktor penentu dalam pembentukan kerajaan, saudara mengalihkannya kepada tuduhan bahawa Zahid “angkuh”. Ini teknik komunikasi politik yang biasa: apabila fakta sukar dipatahkan, serang nada; apabila angka tidak menyebelahi naratif, serang watak.
Kedua, saudara cuba meletakkan BN dalam perangkap psikologi. Jika BN terus menyatakan peranannya, BN akan dilabel angkuh. Jika BN berdiam diri, peranan BN akan dipadam perlahan-lahan daripada ingatan rakyat. Dalam teori permainan politik, ini ialah usaha untuk mengecilkan ruang gerak lawan: apa sahaja jawapan BN cuba dijadikan salah.
Ketiga, kenyataan ini berlaku dalam konteks PRN Johor. Maka ia tidak boleh dibaca secara terpisah. Apabila BN Johor menyatakan pendirian bahawa kerajaan negeri Johor mempunyai mandat dan konteksnya sendiri, ada pihak cuba menjadikan perkara itu sebagai ujian kesetiaan terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Naratif perlu jelas.
Kerajaan Negeri Johor dibentuk sebelum wujudnya keperluan membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Mandat Johor datang daripada rakyat Johor. Kerajaan Negeri Johor boleh dibentuk dengan sendirinya dengan stabil tanpa memerlukan sokongan PH mahupun PN.
Kerajaan Perpaduan pula lahir selepas PRU15 apabila negara memerlukan kestabilan di peringkat nasional. Tidak ada satu pihak samada PH, PN atau BN mampu membentuk kerajaan sendiri, maka satu kesefahaman demi kestabilan negara diperlukan.
Dua perkara ini berkaitan dalam politik, tetapi tidak sama dari segi mandat, sejarah dan konteks.
Maka tidak wajar mana-mana pihak memaksa BN Johor menerima kerangka politik Persekutuan secara mutlak seolah-olah mandat negeri sudah dileburkan ke dalam perjanjian ideologi nasional. Kerajaan Perpaduan bukan penyatuan ideologi. Ia bukan penggabungan parti. Ia bukan penyerahan prinsip.
Kerajaan Perpaduan adalah satu persetujuan politik untuk memastikan negara boleh ditadbir, ekonomi boleh dipulihkan dan rakyat tidak terus menjadi mangsa ketidaktentuan politik.

UMNO tetap UMNO. BN tetap BN. PKR tetap PKR. DAP tetap DAP. Amanah tetap Amanah. Pakatan Harapan tetap Pakatan Harapan.
Jika semua pihak benar-benar memahami semangat Kerajaan Perpaduan, maka perbezaan pendirian tidak sepatutnya terus diterjemahkan sebagai krisis. Kerjasama dalam kerajaan tidak bermaksud semua parti perlu menukar DNA politik masing-masing. Ia bermaksud parti-parti yang berbeza sanggup bekerjasama dalam ruang pentadbiran demi kepentingan negara.
Itulah kematangan politik sebenar.
Malah, sebelum ini YB Datuk Fahmi Fadzil pernah menyatakan bahawa pendirian BN dan PH Johor untuk bertanding di semua kerusi tidak menjejaskan kerjasama di peringkat Persekutuan kerana ia adalah pandangan politik di peringkat negeri. Jika prinsip itu diterima ketika PH mahu bertanding semua kerusi, prinsip yang sama juga mesti dihormati apabila BN Johor mempertahankan mandatnya sendiri.
Pakatan Harapan tidak boleh ada dua standard dalam membaca situasi yang sama.
Apabila PH menyatakan pendirian negeri, ia dipanggil hak politik. Apabila BN Johor menyatakan pendirian negeri, ia tidak boleh tiba-tiba dipanggil ancaman kepada Kerajaan Perpaduan. Jika kita mahu politik matang, maka semua pihak mesti konsisten.
Saudara Kamil,
Saudara menyebut tentang semangat saling menghormati. Benar, saling menghormati adalah asas kepada Kerajaan Perpaduan. Tetapi hormat itu tidak boleh bersifat sehala. BN menghormati keperluan negara untuk mempunyai kerajaan yang stabil. BN menghormati peranan Perdana Menteri. BN menghormati kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam membentuk kestabilan pasca PRU15. BN juga terus memberi komitmen kepada pentadbiran negara sehingga mandat semasa berakhir.
Namun, penghormatan yang sama juga mesti diberikan kepada identiti, prinsip dan mandat BN.
Jangan tersilap membaca kesetiaan BN kepada kerajaan sebagai kesediaan BN untuk melepaskan prinsip perjuangannya. Jangan tersilap membaca komitmen BN kepada kestabilan sebagai penerimaan BN terhadap semua ideologi PH. Dan jangan tersilap membaca kesabaran BN sebagai kelemahan politik.
BN menyertai Kerajaan Perpaduan bukan kerana semua perbezaan idealogi sudah hilang. BN menyertai Kerajaan Perpaduan kerana negara memerlukan kerajaan. Kerajaan perlu dibentuk. Rakyat perlu ditadbir. Ekonomi perlu distabilkan. Pelabur perlu diyakinkan. Institusi negara perlu dipertahankan.
Itu tanggungjawab nasional, bukan penyerahan ideologi.

Oleh itu, kenyataan Zahid sepatutnya dibaca dalam konteks yang betul. Beliau tidak mengatakan BN lebih besar daripada semua pihak. Beliau mengatakan tanpa sokongan BN, kerajaan hari ini tidak akan mempunyai bentuk dan kestabilan seperti yang ada sekarang. Itu bukan keangkuhan. Itu pengiktirafan terhadap realiti politik.
Dalam politik gabungan, parti yang lebih kecil dari segi jumlah kerusi boleh menjadi penentu jika kedudukannya menjadikan pembentukan majoriti mungkin. Ini bukan teori asing. Ini asas politik berparlimen. Dalam keadaan Parlimen tergantung, kuasa tidak hanya terletak pada angka terbesar, tetapi pada keupayaan membentuk majoriti yang sah dan berfungsi.
Maka kepada Saudara Kamil, isu sebenar bukan sama ada BN mahu “overclaim”. Isu sebenar ialah sama ada PH bersedia mengakui bahawa Kerajaan Perpaduan hari ini berdiri atas keberanian semua pihak membuat keputusan sukar, termasuk BN dan Zahid sendiri yang telah mengambil risiko politik paling besar di hadapan penyokong tradisinya.
BN boleh memilih jalan lain. Tetapi BN memilih kestabilan. BN memilih negara. BN memilih menghormati proses institusi dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Jika itu pun tidak boleh diakui, maka yang sedang berlaku bukan teguran terhadap keangkuhan. Yang sedang berlaku ialah usaha mengecilkan peranan BN supaya BN dilihat hanya sebagai penumpang, bukan rakan penentu dalam kestabilan negara.
Kematangan politik tidak bermula dengan menafikan sumbangan rakan. Kematangan politik bermula dengan keberanian mengakui hakikat, walaupun hakikat itu tidak selesa.
BN tidak perlu mendabik dada. Tetapi BN juga tidak perlu meminta maaf kerana telah menjadi faktor penentu kepada kestabilan negara.
Kerajaan Perpaduan mesti terus dipertahankan. Tetapi ia mesti dipertahankan atas asas kejujuran politik, bukan pemadaman peranan mana-mana pihak. BN kekal komited kepada kerajaan ini demi rakyat, negara dan institusi Raja Berperlembagaan. Namun komitmen itu tidak boleh disalahertikan sebagai kesediaan untuk menerima semua naratif dan ideologi rakan politik.
Kerjasama bukan penyerahan. Kestabilan bukan menyerah diri. Dan fakta bukan keangkuhan.

Oleh: Raziz Rashid
