Wanita UMNO Bukit Bintang Penggerak Utama Agenda Baharu Parti
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Wanita UMNO dilihat terus memainkan peranan penting sebagai tulang belakang kekuatan parti dalam usaha memperkukuh agenda baharu UMNO, khususnya di Bahagian Bukit Bintang.
Peranan golongan wanita itu bukan sekadar sebagai sayap parti, sebaliknya menjadi jentera utama yang menggerakkan akar umbi serta memastikan kelangsungan perjuangan UMNO sejak dahulu hingga kini, terutama ketika berdepan pelbagai cabaran politik.
Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin, berkata parti perlu berani melakukan perubahan dan pembaharuan bagi mengembalikan keyakinan rakyat selepas berdepan kemerosotan sokongan pada pilihan raya lalu.
Menurutnya, keputusan tersebut harus dilihat sebagai isyarat jelas daripada rakyat untuk UMNO memperbaiki kelemahan dan memperkukuh perpaduan dalaman.

“Walaupun nasi telah menjadi bubur, jangan biarkan ia terbuang begitu sahaja. Jadikan ia bubur berlauk yang lebih bernilai. Begitulah juga UMNO, setiap cabaran perlu dijadikan pengajaran untuk membina kekuatan baharu,” katanya.
Beliau menegaskan kekalahan dan kehilangan sebahagian kekuatan politik tidak bermakna perjuangan parti telah berakhir, sebaliknya UMNO masih mempunyai ruang untuk bangkit semula sekiranya seluruh ahli bersatu dan mengutamakan kepentingan parti.
Mengulas kedudukan parti dalam landskap politik negara, beliau berkata UMNO masih memainkan peranan penting walaupun hanya memenangi sekitar 30 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum lalu, termasuk pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan.
Dalam perkembangan di peringkat bahagian, UMNO Bukit Bintang kini memberi tumpuan kepada pengukuhan organisasi menerusi penubuhan Jabatan Pengundi Luar yang dilihat sebagai langkah strategik memperluas sokongan parti, dengan wanita menjadi antara penggerak utama inisiatif berkenaan.
Selain itu, UMNO Bukit Bintang turut merancang pembangunan kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai zon ekonomi Melayu yang lebih tersusun dan berdaya saing, bagi memperkukuh kedudukan ekonomi masyarakat Melayu di kawasan bandar.
Tengku Azman berkata, masyarakat sering mengenali kawasan seperti Chinatown dan Little India, namun belum wujud identiti ekonomi Melayu yang benar-benar kukuh dan tersusun di ibu negara.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperkasakan generasi muda melalui penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sebagai usaha menyediakan peluang pendidikan, latihan kemahiran dan pekerjaan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli parti agar tidak terjebak dengan budaya politik tidak sihat seperti fitnah dan perpecahan dalaman yang boleh melemahkan parti dari dalam.
“Budaya politik yang menghalalkan segala cara demi jawatan perlu dihentikan. Kita memperkenalkan konsep ‘Keluarga Harmoni’ bagi memperkukuh perpaduan dan budaya politik beretika,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perebutan jawatan tidak seharusnya menjadi keutamaan ketika parti berdepan cabaran besar.
“Jangan sibuk merebut stereng sedangkan kereta sudah hampir masuk ke gaung,” katanya.
Menurutnya, tumpuan utama ketika ini adalah memperkukuh parti dan membuat persiapan menghadapi pilihan raya akan datang demi kelangsungan perjuangan agama, bangsa dan negara.
Beliau juga menekankan bahawa proses peralihan kepimpinan kepada generasi muda perlu dilakukan secara beradab tanpa menafikan sumbangan pemimpin lama yang telah banyak berjasa kepada parti.
“Perjuangan ini perlu diwariskan kepada generasi muda, bukan budaya perpecahan dan fitnah,” katanya.
Persidangan Wanita UMNO Bukit Bintang itu turut menekankan komitmen berterusan dalam memperkukuh peranan wanita sebagai penggerak utama agenda parti di peringkat akar umbi. – UMNO Online
