TVET MARA Capai Kebolehpasaran Hampir 100 peratus

PUTRAJAYA, 6 Jun – Sebanyak 270 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) mencatat kadar kebolehpasaran graduan kira-kira 99.5 peratus, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata pencapaian membanggakan itu membuktikan bahawa institusi TVET MARA berada di garisan paling hadapan dalam menjayakan agenda TVET negara yang kini memasuki fasa TVET 2.0.

“Saya juga sangat menghargai kerana pihak swasta telah berada di garisan paling hadapan untuk turut mendokong TVET di seluruh negara dengan menawarkan bukan saja modul baharu malah penyediaan perkakasan peralatan dan jentera untuk institusi TVET tertentu.

“Mereka menyambut TVET 2.0 ini bukan saja dengan huluran pelbagai sumbangan yang saya sebutkan tadi malah mereka telah menandatangani perjanjian dengan pihak Majlis TVET Negara dan kebanyakan institusi TVET di Malaysia, bahawa semua pelajar TVET akan diambil bekerja oleh industri ini, 100 peratus diserapkan dalam industri,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari TVET Negara 2026 di sini hari ini.

Sambutan TVET Negara 2026 diadakan di Dataran Putrajaya di sini, dengan majlis perasmian dan pelancaran TVET 2.0 disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata pelaksanaan TVET 2.0 akan memberi tumpuan lebih besar kepada bidang baharu yang mempunyai kebolehpasaran tinggi seperti robotik, kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT) dan tenaga boleh baharu, tanpa mengetepikan bidang konvensional yang terus mendapat permintaan.

“Dalam TVET 2.0, selain daripada tumpuan yang telah saya berikan, kita juga telah menghantar tenaga pengajar daripada institusi TVET tertentu ke luar negara dengan percuma, bukan pembiayaan oleh pihak kerajaan tetapi dibiayai oleh pihak industri di luar negara kepada pengajar kita,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihak industri juga menawarkan gaji premium kepada lepasan TVET, dengan gaji minimum RM2,500 kepada mereka yang menamatkan kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), melebihi kadar gaji minimum semasa.

Beliau berkata kadar kebolehpasaran graduan TVET di seluruh negara turut meningkat kepada 98.7 peratus pada akhir Mei lepas berbanding 95.1 peratus sebelum ini.

“Ini merupakan pencapaian yang kita syukuri dan sebagaimana yang sering saya sebutkan, untuk memperolehi kejayaan itu sukar tetapi untuk mempertahankannya lebih sukar. Tugas dan tanggungjawab kita bukan sahaja untuk mempertahankan kejayaan itu malah terus mempertingkatkannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pelajar daripada maahad tahfiz dan sekolah pondok kini turut diberi peluang mengikuti bidang TVET, termasuk dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa dan kejuruteraan maritim menerusi program yang ditawarkan oleh UniKL.

“Ini akan menaikkan tahap pelajar maahad tahfiz yang selama ini hanya tertumpu kepada bidang syariah dan usuluddin. Insya-Allah kita akan melihat dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun mendatang, selain daripada terus mempertahankan penghafazan dalam al-Quran, mereka akan menjadi jurutera dan terlibat dalam aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata langkah itu dijangka melahirkan lebih ramai tenaga profesional berkemahiran tinggi dalam kalangan pelajar tahfiz tanpa menjejaskan penguasaan mereka dalam bidang agama.

Ahmad Zahid turut berkata tujuh universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menawarkan laluan pendidikan lebih tinggi kepada pelajar TVET hingga ke peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan RM7.9 bilion kepada sektor TVET menerusi Belanjawan 2026, iaitu peruntukan tertinggi pernah diberikan bagi memperkukuh pelaksanaan TVET 2.0 termasuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula.

Mengenai sambutan Hari TVET Negara 2026, beliau berkata penganjuran tahun ini dilaksanakan dalam skala yang agak besar walaupun dengan kos yang sangat rendah, sekali gus mencerminkan kecekapan pengurusan sumber serta komitmen kerajaan dalam memastikan program berimpak tinggi dapat diteruskan tanpa membebankan perbelanjaan negara.

Mengangkat tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya”, sambutan Hari TVET Negara 2026, selama tiga hari hingga Ahad, bermula 9 pagi hingga 10 malam menghimpunkan lebih 107 agensi, institusi, dan pemain industri daripada sembilan sektor utama dalam satu pentas, merangkumi bidang aeroangkasa, elektronik dan digital, pertanian, pengangkutan dan automotif, pembuatan termaju, perkhidmatan, rel, maritim serta sektor tenaga. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO