Jangan Sampai Tanah Ini Hilang Maruah Kerana Kita Sendiri
SEJAK akhir-akhir ini, rakyat semakin melihat keberanian segelintir pihak mempertikaikan perkara-perkara asas yang sekian lama menjadi tunjang negara. Agama Islam dipersenda secara terbuka, institusi Raja-Raja dipandang ringan, hak Melayu Bumiputera dipersoal tanpa adab, dan Perlembagaan pula mahu ditafsir mengikut selera politik tertentu. Lebih mendukacitakan, semua ini berlaku ketika sebahagian pemimpin memilih untuk diam, tunduk atau bermain selamat demi kuasa.
Malaysia bukan negara yang lahir secara kebetulan. Negara ini terbina atas persefahaman sejarah dan Perlembagaan yang dipersetujui bersama. Orang Melayu menerima kewarganegaraan besar-besaran kepada kaum lain selepas merdeka, manakala hak Melayu, Islam dan institusi Raja-Raja dijamin dalam Perlembagaan. Itulah asas kestabilan negara sejak sekian lama. Maka apabila ada pihak cuba menyentuh perkara-perkara ini secara melampau, rakyat berhak merasa bimbang.

Kebebasan bersuara tidak pernah bermaksud bebas menghina. Demokrasi juga bukan lesen untuk mencabar asas negara sesuka hati. Jika setiap perkara mahu dipolitikkan dan dipersoalkan tanpa batas, akhirnya negara akan hilang hormat terhadap undang-undang dan sejarahnya sendiri.
Yang lebih membimbangkan ialah apabila ada pemimpin Melayu sendiri seolah-olah takut mempertahankan perkara asas bangsanya. Ada yang terlalu ghairah mengejar sokongan politik sehingga sanggup berdiam diri apabila agama dihina dan institusi negara diperlekeh. Ada pula yang lebih sibuk menjaga hati pihak tertentu daripada menjaga maruah bangsa sendiri. Akhirnya, rakyat melihat pemimpin yang sepatutnya menjadi benteng telah bertukar menjadi pemerhati yang tidak berani bersuara.
Perlu diingat, sejarah tidak pernah memaafkan bangsa yang lemah kerana perpecahan dan kehilangan jati diri. Musuh paling berbahaya bukan semestinya orang luar, tetapi apabila anak bangsa sendiri sanggup menjadi alat kepada agenda yang melemahkan kedudukan agama, bangsa dan negara demi kepentingan peribadi. Berbeza pandangan politik itu perkara biasa, tetapi jangan sampai kerana terlalu taksub kepada parti atau kuasa, prinsip sendiri tergadai.

Dalam masa yang sama, kaum-kaum lain juga perlu memahami bahawa keharmonian negara hanya dapat dipertahankan jika semua pihak menghormati batas yang telah dipersetujui bersama. Tidak salah memberi pandangan atau menuntut keadilan, tetapi jangan sampai menyentuh perkara sensitif dengan nada menghina atau mencabar. Hormat kepada Islam, Raja-Raja Melayu dan kedudukan Melayu Bumiputera bukan bermaksud kaum lain ditindas, tetapi menghormati asas pembentukan negara ini.
Jika semua pihak terus bermain api perkauman dan politik kebencian, jangan terkejut jika suatu hari nanti rakyat hilang kepercayaan antara satu sama lain. Ketika itu, yang rugi bukan satu kaum sahaja, tetapi seluruh negara.
Malaysia tidak perlukan pemimpin yang hanya pandai berpolitik ketika mahu undi. Malaysia perlukan pemimpin yang ada keberanian mempertahankan maruah negara dengan kebijaksanaan dan ketegasan. Rakyat juga perlu kembali sedar bahawa keamanan yang kita nikmati hari ini bukan sesuatu yang kekal jika asas-asas negara terus dipermainkan.
Jangan sampai suatu hari nanti anak cucu bertanya: ketika agama dihina, bangsa dipersenda dan institusi negara diperlekeh, di manakah kita berdiri?

Datuk Zakaria bin Dullah
Penaung Briged Negaraku
Timbalan Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam
