UEC, Rukun Negara & Polemik Politik Reformasi
POLITIK Malaysia sekali lagi menyaksikan perdebatan panas melibatkan Pakatan Harapan, isu UEC, Rukun Negara dan dasar pendidikan negara.
Persoalan paling besar yang mula dibangkitkan rakyat ialah, jika kerajaan hari ini benar-benar mahu reformasi, mengapa begitu banyak dasar era Barisan Nasional masih dikekalkan?
Rukun Negara diperkenalkan pada tahun 1970 selepas tragedi 13 Mei dan ia bukanlah perlembagaan tetapi sebagai falsafah kebangsaan negara. Ia bukan undang-undang tertinggi negara dan tidak dimaktubkan sebagai peruntukan perlembagaan yang mengikat seperti hak-hak dalam Perlembagaan.
Jadi timbul persoalan politik yang semakin hangat, jika ada pihak mendakwa mahu menghapuskan legasi lama pemerintahan terdahulu, mengapa Rukun Negara masih dipertahankan sedangkan ia juga lahir daripada era pemerintahan Barisan Nasional?

Ramai melihat prinsip “Kepercayaan Kepada Tuhan” sekadar slogan moral dan perpaduan, tetapi dari sudut sejarah politik, prinsip tersebut lahir ketika Malaysia sedang berdepan ancaman ideologi komunis dan pengganas bersenjata.
Dalam konteks ‘Perang Dingin’ ketika itu, komunisme sering dikaitkan dengan fahaman atheisme serta penolakan institusi agama dan tradisi negara, jadi adalah benar bahawa prinsip “Kepercayaan Kepada Tuhan” sebenarnya berkait dengan ancaman komunis.
Atas sebab itu, prinsip tersebut juga dianggap sebahagian daripada pendirian ideologi negara menolak fahaman ekstrem anti-agama.
Hari ini, ada pihak cuba mentafsir prinsip tersebut mengikut acuan politik semasa tanpa memahami konteks sejarah pembentukannya.
Perdebatan mengenai UEC juga kini kembali menjadi isu besar kerana ramai mula mempersoalkan keikhlasan kerajaan dalam melaksanakan janji politik. Persoalannya ialah mengapa kerajaan tidak meminda Akta Pendidikan 1996 tersebut?
Hakikatnya mudah, selagi Akta Pendidikan 1996 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak dipinda, selagi itulah pengiktirafan penuh UEC akan terus menjadi pertikaian dan ianya akan timbul bila sudah hampir Pilihan Raya Umum.
Perlu disedarkan bahawa Akta tersebut menetapkan, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, kerangka pendidikan kebangsaan, serta asas penyelarasan sistem pendidikan negara, maka jika kerajaan benar-benar mahu melaksanakan pengiktirafan menyeluruh terhadap UEC, jalan paling jelas ialah, meminda Akta Pendidikan 1996, melonggarkan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan menjelaskan secara terbuka hala tuju sistem pendidikan negara.
Perdebatan UEC akhirnya membawa kepada isu lebih besar iaitu Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, jadi adakah Perkara 152 dan Bahasa Kebangsaan menjadi halangan?
Jika ia dan reformasi benar-benar mahu dilakukan, kerajaan harus bersedia membuka perbahasan lebih besar mengenai kedudukan bahasa lain dalam sistem nasional, atau adakah isu ini akan terus digunakan sebagai bahan politik setiap kali menjelang pilihan raya.
Tak ada modal lain melainkan isu UEC diungkitungkit sejak sekian lama dan mereka pula macam tak faham-faham maksud penolakan yang dilakukan. Jati diri dan nilai keutamaan menjadi sandaran.
Inilah persoalan utama yang kini semakin banyak dibincangkan rakyat. Adakah kerajaan hari ini mahu benar-benar reform atau sekadar retorik politik? Jika benar mahu reformasi, maka pindalah dasar lama, ubah akta berkaitan, bentangkan pindaan secara terbuka di Parlimen, dan pertahankan hujah tersebut secara konsisten.
Tetapi jika semua dasar lama masih dikekalkan apabila sudah memegang kuasa, rakyat mula melihat bahawa sebahagian slogan reformasi sekadar retorik politik untuk meraih sokongan semasa pilihan raya walhal yang diperjuangkan ketika mereka di luar kerajaan seakan dilupakan.
Politik akhirnya bukan tentang siapa paling lantang mengkritik dasar lama tapi politik adalah tentang siapa benar-benar berani memikul tanggungjawab apabila sudah menjadi kerajaan.
Justeru, jika selama ini Barisan Nasional dikritik kerana mempertahankan dasar-dasar lama negara, mengapa ada yang apabila sudah menjadi kerajaan, dasar yang sama masih terus digunakan dan dipertahankan? Adakah ini membuktikan bahawa bukan semua perkara boleh diubah hanya demi slogan reformasi, kerana akhirnya kestabilan negara dan perpaduan rakyat tetap menjadi keutamaan?

Zanuddin Salleh @ Hj.Ob
Ketua Biro Komunikasi UMNO Bukit Bintang
