Program Semarak Sihat: Pemangkin Usaha Berterusan Bentuk Bangsa Johor Cergas, Sejahtera

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berharap agar Program Semarak sihat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan untuk membentuk Bangsa Johor yang lebih sihat, cergas dan sejahtera.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap memaklumkan beliau telah bersama Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon untuk menyertai acara tersebut pada Selasa.

“Syukur Alhamdulillah, saya bersama Ling Tian Soon, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, berkesempatan menyertai Program Semarak Sihat di Taman Merdeka, Johor Bahru yang menghimpunkan lebih 1,200 Bangsa Johor.

“Program ini menjadi platform penting dalam memperkukuh agenda kesihatan awam dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat, di samping mengeratkan semangat kebersamaan serta silaturahim dalam kalangan masyarakat.

“Mendepani cabaran penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi, usaha membudayakan aktiviti sihat dan saringan kesihatan awal akan terus diperkasakan. Kesihatan yang baik merupakan asas penting dalam membina masyarakat produktif, sejahtera dan berkualiti,” katanya.

Jelasnya, terdapat pelbagai program telah diadakan sepanjang program ini untuk menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.

“Pelbagai pengisian telah diadakan sepanjang program ini termasuk senamrobik, saringan kesihatan, pameran pemakanan sihat, pendidikan kesihatan serta pengenalan aplikasi BookDoc yang bertujuan menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat secara berterusan.

“Semoga Program Semarak Sihat ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam membentuk Bangsa Johor yang lebih sihat, cergas dan sejahtera demi masa depan negeri yang lebih maju dan makmur. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO