80 Tahun UMNO Di Persada Negara… Nilai Di Sebalik Sekeping Foto

DARIPADA ratusan gambar sempena sambutan sederhana namun penuh makna ulang tahun ke-80 UMNO di Istana Besar Johor, saya merasakan inilah foto yang paling kuat berbicara.

Tiada pentas gah.

Tiada sorakan besar.

Tiada susunan propaganda berlebihan.

Hanya sebuah jabat tangan.

Tetapi dalam dunia politik Melayu, ada gambar yang nilainya lebih besar daripada seribu ucapan.

Di saat hubungan antara pimpinan tertinggi negara dengan beberapa institusi Diraja di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan sedang menjadi perhatian dan perbincangan rakyat, Presiden UMNO hadir di bumi Johor, berdiri di hadapan simbol warisan Melayu, lalu berjabat tangan dengan Pemangku Sultan Johor.

Di tengah-tengah mereka berdirinya sebilah keris.

Bukan sekadar artifak.

Bukan sekadar adat istiadat.

Tetapi lambang daulat, maruah, kuasa dan kesinambungan tamadun Melayu.

Foto ini bukan tentang politik sehari dua.

Ia lebih besar daripada perebutan naratif media sosial.

Ia membawa makna hubungan antara institusi, sejarah dan akar perjuangan bangsa yang telah dibina sejak sebelum negara ini merdeka.

UMNO lahir di Istana Besar Johor pada tahun 1946.

Dan 80 tahun kemudian, dalam suasana politik yang jauh lebih kompleks dan berpecah, sejarah seolah-olah kembali mengingatkan asal-usulnya.

Ada mesej yang tidak perlu disebut dengan kata-kata.

Kadangkala sebuah jabat tangan sudah cukup untuk membawa seribu tafsiran.

Di hadapan keris itu, seolah-olah terpantul satu simbolisme.

Bahawa politik Melayu mungkin berubah wajah, tetapi akar kekuatannya tetap bertunjangkan institusi, warisan dan kesinambungan sejarah.

80 tahun berlalu.

Banyak parti muncul dan tenggelam.

Banyak tokoh datang dan pergi.

Tetapi UMNO masih berdiri di titik sejarah yang sama, antara rakyat, institusi dan perjuangan Melayu yang membentuk negara ini.

Dan mungkin sebab itu, gambar ini terasa begitu berat nilainya.

Raziz Rashid
Pengarah Komunikasi Strategik kepada Ketua Penerangan UMNO Malaysia

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO