Kejayaan Konvensyen UMNO Bukti Parti Kekal Kukuh, Bersatu Dan Berprinsip – Tengku Adnan
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Bendahari UMNO Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyifatkan kejayaan Konvensyen UMNO 80 Tahun yang menutup tirainya pada Sabtu menjadi bukti bahawa parti itu terus kukuh, bersatu dan berprinsip dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Menurut beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, UMNO kekal relevan serta komited dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan masa depan negara, meskipun landskap politik negara terus berubah.

“Alhamdulillah. Konvensyen UMNO 80 Tahun membuktikan parti ini terus kukuh, bersatu dan berprinsip dalam mendepani cabaran semasa. UMNO kekal relevan dan komited memperjuangkan kepentingan rakyat serta masa depan negara. Moga perjuangan kita terus diredhai Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas semangat dan mesej yang dizahirkan sepanjang penganjuran konvensyen tersebut yang menghimpunkan kepimpinan serta ahli parti dari seluruh negara.
Ujarnya lagi, konvensyen berkenaan dilihat menjadi platform memperkukuh perpaduan dalaman parti serta mempertegaskan hala tuju perjuangan UMNO dalam mendepani cabaran politik dan ekonomi semasa.
Dalam sesi penggulungan Konvensyen 80 Tahun UMNO, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan keyakinan bahawa UMNO mampu terus mengharungi cabaran mendatang dan kembali mencapai kegemilangan, berkat dokongan serta kejituan semangat seluruh ahli parti.
Beliau berkata perjalanan panjang UMNO sejak penubuhannya memperlihatkan ketahanan luar biasa dalam mendepani kitaran krisis yang berulang setiap dekad, termasuk kehilangan majoriti pada 2008 dan kekalahan besar dalam Pilihan Raya Umum 2018. – UMNO-Online
