UMNO Terima 3,716 Pendaftaran Ahli Baharu Tidak Sampai 24 Jam – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 21 April – UMNO telah menerima 3,716 pendaftaran ahli-ahli baharu tidak sampai 24 jam selepas sistem pendaftaran secara atas talian dibuka semalam.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di laman Facebooknya.

“Balik dari masjid pagi ini, saya menyemak sistem ‘dashboard’ keahlian UMNO, terus saya ambil masa untuk perhalusi dan luluskan setiap permohonan.
“Letih juga tetapi menyeronokkan dan mengujakan kerana tidak sampai 24 jam sistem pendaftaran baharu atas talian dimuat naik, sudah 3,716 ahli baharu yang majoritinya dalam kalangan anak muda mendaftar.
“Terima kasih semua kerana sudi bersama dalam perjuangan suci ini,” katanya.
Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa UMNO telah meluluskan pendaftaran 1,908 ahli baharu yang majoritinya dimohon dari sayap Pemuda.
“Tahniah dan hebat! 1,908 ahli baharu UMNO telah saya luluskan setakat pukul 6.00 petang, setelah lapan jam Pendaftaran Keahlian Secara Atas Talian dibuka pada kali pertama. Keahlian Pemuda UMNO yang paling tinggi iaitu seramai 1,215 orang. Syabas, pemuda!” katanya lagi.
Untuk rekod, UMNO telah membuka saluran pendaftaran secara atas talian pada Isnin untuk mempermudahkan proses pendaftaran ahli baharu.
Melalui inisiatif digital ini, orang ramai hanya perlu melayari laman web rasmi di https://myumno.org untuk memulakan proses pendaftaran.
Proses pendaftaran adalah mudah dan mesra pengguna iaitu pemohon perlu mengimbas kad pengenalan, membuat pengesahan wajah (liveness), serta melengkapkan semua maklumat yang diperlukan sebelum menghantar permohonan.

Setelah dihantar, pemohon disarankan untuk menyemak semula maklumat bagi memastikan ketepatan sebelum proses kelulusan dibuat.
Keputusan permohonan akan dimaklumkan melalui emel yang didaftarkan dan bagi permohonan yang berjaya, nombor keahlian akan diberikan dalam tempoh 24 jam. Pemohon seterusnya boleh log masuk ke laman tersebut menggunakan nombor ahli dan emel bagi pengesahan kali pertama.
Namun, permohonan boleh ditolak sekiranya pemohon didapati telah menjadi ahli UMNO sebelum ini. Dalam keadaan tersebut, pemohon disarankan untuk menghubungi pihak Ibu Pejabat UMNO bagi tindakan lanjut.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Unit Keahlian, Jabatan Pengurusan Data di Ibu Pejabat UMNO.
Untuk rekod, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada Jumaat MKT telah meluluskan pindaan Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran ahli baharu dibuat secara atas talian.
Dr Asyraf berkata, selaras dengan Fasal 5.2 Perlembagaan UMNO, MKT juga telah membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran secara atas talian bagi mempermudahkan kemasukan ahli baharu terutamanya dalam kalangan anak-anak muda. – UMNO Online
