Labuan Juga Perlu Diberi Peluang Bangkit – Mohd Rafi

KUALA LUMPUR, 18 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, menjunjung kasih dan menyambut baik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berhubung cadangan mengembalikan semula keistimewaan Pulau Bebas Cukai di Langkawi.

Menurut beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, titah tersebut mencerminkan keprihatinan institusi diraja terhadap kesejahteraan rakyat serta keperluan mendesak untuk merancakkan semula sektor pelancongan dan ekonomi tempatan yang terkesan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Patik menjunjung kasih dan menyambut baik titah Tuanku. Sesungguhnya ia mencerminkan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat serta keperluan untuk merancakkan semula sektor pelancongan dan ekonomi tempatan,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyuarakan harapan rakyat di Labuan, khususnya golongan muda yang kini berdepan kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan susulan kemerosotan ekonomi sejak perubahan dasar pada tahun 2021.

Katanya, peniaga kecil di Labuan juga terus bergelut untuk bertahan dalam keadaan ekonomi yang semakin perlahan, sekali gus memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat di pulau itu.

“Hari ini, ramai anak muda berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan, manakala peniaga kecil terus bergelut untuk bertahan. Aktiviti ekonomi di Labuan tidak lagi semeriah dahulu, dan kesannya dirasai rakyat,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau dengan penuh hormat memohon agar Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dapat mempertimbangkan pendekatan lebih menyeluruh dengan menilai semula keperluan pengembalian keistimewaan bebas cukai, bukan sahaja di Langkawi tetapi juga di Labuan.

Tambahnya, walaupun keputusan terdahulu dibuat atas faktor ketirisan, langkah ke hadapan perlu diperkukuh melalui penguatkuasaan lebih berkesan, pemantauan bersepadu serta penambahbaikan tadbir urus.

“Rakyat Labuan tidak meminta keistimewaan berlebihan. Kami hanya memohon peluang yang adil untuk bangkit semula. Dengan sokongan dasar yang tepat, Labuan berpotensi kembali menjadi pulau yang hidup dan berdaya saing,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar Labuan tidak dipinggirkan dalam usaha memulihkan ekonomi pulau-pulau strategik negara, selari dengan semangat titah Tuanku yang mengutamakan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO