KPT Perkukuh Kurikulum IPTA, Industri Jadi Rakan Strategik Utama – Zambry
Menterinya, Zambry Abdul Kadir berkata, setiap kurikulum baharu yang dibangunkan oleh universiti awam perlu melalui mekanisme kelulusan Jawatankuasa Pendidikan Tinggi yang dianggotai wakil pelbagai kementerian, agensi serta badan profesional dan industri.
“KPT juga melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah membangunkan Standard Program sebagai salah satu panduan yang boleh menjadi rujukan kepada institusi pendidikan tinggi. Standard Program ini menjelaskan penyertaan pengamal industri dalam aktiviti pembangunan kurikulum, pengajaran, penilaian pelajar serta semakan semula kurikulum.
“Akreditasi MQA juga menuntut untuk IPT membuat semakan dan penambahbaikan secara berkala serta berterusan. Bagi tujuan tersebut, IPT perlu melaksanakan proses penambahbaikan kualiti berterusan atau Continuous Quality Improvement (CQI) terhadap program pengajian menerusi beberapa pendekatan. Ini termasuklah dalam pendekatan PdPnya iaitu pengajaran dan juga proses pembelajaran.
“Di peringkat universiti awam, Industry Advisory Panel merupakan platform rasmi untuk mendapatkan input daripada pihak industri dalam pembangunan dan semakan semula kurikulum program. Pakar industri turut dijemput menyampaikan kuliah dan syarahan seperti yang diamalkan di sesetengah universiti; ada Professor in Practice dan juga Profesor Adjung,” katanya.
Beliau menjawab persoalan dari Ahli PArlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad yang meminta KPT menyelaras dan menambah baik silibus kurikulum supaya selari dengan keperluan semasa industri bagi memastikan sistem pendidikan tinggi terus relevan dalam era IR4.0 dan integrasi serantau serta langkah Kerajaan menterjemahkannya ke dalam semua 20 universiti di bawah kelolaan KPT.
Mengulas lanjut, Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan platform utama yang dimanfaatkan termasuk Majlis Pekerjaan Negara, Majlis TVET Negara serta Government-Industry TVET Collaboration Body yang berperanan sebagai jambatan penghubung antara institusi pendidikan dan sektor industri.
“KPT dalam hal ini sentiasa bekerjasama dengan industri melalui platform Majlis Pekerjaan Negara, Majlis TVET Negara dan Government-Industry TVET Collaboration Body untuk membincangkan kalau sekiranya ada masalah ‘mismatch’ tenaga kerja, peluang pekerjaan graduan serta merancang keperluan tenaga kerja masa hadapan yang sejajar dengan kehendak pasaran sebenar.
“Kita bukan lagi berada di landasan IR 4.0, malah sedang merangka ke hadapan iaitu perubahan daripada IR 4.0 kepada Industri 5.0 pada hari ini seperti termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara untuk 2026-2035,” ujarnya. – UMNO Online
