UMNO Johor Tegas Tolak Polemik Sempit, Fokus Kemajuan Negeri
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata UMNO Johor mengutamakan khidmat cemerlang kepada rakyat yang dilaksanakan bagi manfaatnya dirasai di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, segala kejayaan yang dicapai ketika ini hanyalah permulaan dan Johor masih mempunyai potensi yang amat besar untuk diteroka serta dimanfaatkan demi kesejahteraan rakyat.
“Kami percaya, segala kejayaan ini hanyalah suatu permulaan. Dan potensi yang ada pada Johor masih terlalu besar. Dengan potensi yang begitu besar, serta harapan rakyat yang menggunung, Johor tidak boleh dan tidak akan sekali-kali memperjudikan masa depannya.
“Impian yang sedang dibina ini terlalu berharga. Masa yang tinggal terlalu singkat kerana itu, Johor tidak mahu terjebak dengan sebarang polemik sempit yang tidak membawa nilai kepada kemajuan negeri dan orang Melayu. Pendirian kami di Johor adalah jelas dan berprinsip.
“Apa jua gerak langkah, perihal strategi dan soal percaturan demi kebaikan parti, UMNO Johor berserah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan. Kami semua adalah kelasi dalam sebuah kapal perjuangan. Biarlah sang nakhoda mengemudi, menentukan selok belok, membawa kami ke destinasi akhirnya,” katanya.
Abdul Halim berkata demikian ketika berbahas mewakili Johor sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau, UMNO Johor berpandangan penting untuk memastikan parti keramat ini berdiri atas kekuatan sendiri.
Bagaimanapun katanya, keputusan sama ada UMNO kekal atau menamatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan diserahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti.
“Sama ada bertanding solo atau membentuk apa jua gabungan pokok pangkalnya adalah UMNO mesti berdiri di atas kekuatan sendiri.
“Johor tidak mahu merawat luka di dalam, dengan melihat keluar. Johor tidak akan sekali-kali meminjam kekuatan, jauh sekali mengharap talian hayat daripada sesiapa,” ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, Abdul Halim turut berharap agar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dapat diadakan secara berasingan daripada Pusat.
“UMNO Johor memohon ruang dan sokongan supaya PRN diadakan secara berasingan daripada Pilihanraya Persekutuan,” ujar beliau. – UMNO Online
