Teks Ucapan Pelaporan SUA Sempena PAU 2025

TEKS UCAPAN SETIAUSAHA AGUNG UMNO
DATUK WIRA DR. ASYRAF WAJDI BIN DATO’ DUSUKI
PERSIDANGAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2025

Bismillahirrahmanirrahim

Sang saka bangsa kembali dijulang,
Tanda UMNO mula bersidang,
Berbeza pandangan bukan penghalang,
Rapatkan saf setia berjuang.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

MUKADIMAH

1. Alhamdulillāh, segala puji bagi Allah SWT. Dengan izin-Nya, kita kembali berhimpun di Dewan Merdeka ini dalam Perhimpunan Agung UMNO 2025 bukan sekadar sebagai sebuah parti politik, tetapi sebagai sebuah institusi yang menggenggam amanah perjuangan bangsa.

2. Menghulurkan salam ukhuwah, mengeratkan tali persaudaraan, saya mengucapkan selamat datang kepada semua dif-dif kehormat, para jemputan terutamanya parti-parti komponen Barisan Nasional dan Friends of BN, seterusnya perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.

Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,

3. Persidangan kita pada tahun ini diselubungi rasa hiba atas pemergian dua tokoh besar perjuangan bangsa. Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, bapa pembangunan modal insan dan Allahyarham Dato’ Seri Panglima Bung Moktar Radin, pahlawan dari bumi di bawah bayu. Tatkala UMNO diuji, ditekan dari luar dan dipalit fitnah, ketika ramai yang berpaling tadah, merekalah yang tetap cekal mempertahankan institusi parti, dengan kesetiaan yang tidak pernah goyah.

4. Ibarat retak seribu boleh ditampal, patah satu sukar diganti. Merekalah الصديق وقت الضيق – sahabat sejati yang menjadi cermin kepada makna kesetiaan perjuangan ini. Maka, marilah kita hadiahkan bacaan Ummul Kitab Al-Fatihah buat mereka sebagai tanda hormat dan kasih sayang setulusnya yang tidak berbelah bagi.

Al- Fatihah

LAPORAN PERWAKILAN DAN KEAHLIAN

Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,

5. Suka saya melaporkan bahawa Seramai 6,412 perwakilan yang merangkumi perwakilan daripada Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang hadir sepanjang persidangan ini berlangsung. Kehadiran ini bukan sekadar angka, ia adalah mandat untuk kita bermusyawarah secara tertib, berbeza dengan beradab, dan akhirnya bersatu sebagai satu saf UMNO.

6. Selaku Setiausaha Agung UMNO, pada tahun ini saya memilih untuk bercakap dengan berterus terang. Kita sering meraikan pertambahan angka keahlian parti sebagai petanda kekuatan. Tetapi hakikat yang mesti kita terima ialah angka keahlian tidak semestinya diterjemahkan kepada kemenangan pilihan raya.

7. Pilihan Raya Negeri Sabah menjadi satu ‘wake up call’ terbesar buat kita semua. Kita memasuki gelanggang dengan keyakinan memiliki lebih 622,637 ahli, tetapi undi yang diterima hanyalah 144,584 undi. Pengajarannya, ahli bukan semestinya pengundi dan pengundi tidak semestinya kekal bersama kita.

8. Sejarah politik Sabah mencatat tiga ‘Exodus’ gelombang penghijrahan besar-besar, pada 2016 dengan penubuhan Parti Warisan, pada 2018 apabila sebahagian pimpinan menyertai PPBM, dan pada 2023 apabila sebahagian lagi berhijrah ke GRS. Setiap gelombang ini telah menghakis kekuatan UMNO, memotong satu demi satu, urat nadi perjuangan UMNO Sabah.

9. Trend penurunan ini bukan terhad kepada Sabah sahaja. Dalam tiga Pilihan Raya Umum yang lalu PRU13, PRU14 dan PRU15 pola yang sama berulang. Maka menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka, Johor dan seterusnya PRU16, kita wajib bertanya dengan jujur: Adakah pertambahan 46,655 ahli pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhannya 3.525 juta, sudah cukup untuk menjamin kemenangan? Statistik di banyak negeri menunjukkan jurang yang ketara antara jumlah ahli dan jumlah undi yang diterima.

10. Inilah realiti penghijrahan politik yang mesti kita hadapi dengan berani. Bukan sahaja di Sabah, tetapi di seluruh negara. Kesetiaan hari ini tidak boleh lagi dianggap automatik. Apabila nafsu serakah mengatasi prinsip, apabila kepentingan peribadi mengatasi amanah perjuangan, maka kita akan kehilangan nusrah Allah, walau seramai mana pun kita di atas kertas.

Dengarlah peringatan Allah SWT dalam Surah At-Taubah, ayat 25
لَقَدْ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ فِى مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍۢ ۙ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْـًۭٔا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ ٱلْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam banyak medan peperangan; dan (ingatlah) dalam peperangan Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri”.

MENETAPKAN HALA TUJU PAU

Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,

11. Medan Perhimpunan Agung UMNO ini adalah medan yang terbaik untuk kita bermuhasabah. Bukan untuk kita bermain dengan sentimen murahan, emosi tidak terkawal dan saling menunding jari. Dalam banyak keadaan kita cenderung untuk menyalahkan orang lain tetapi jarang sekali kita melihat kelemahan diri. Hakikatnya kita tidak mampu mengawal orang lain tetapi kita mampu mengawal, mencorak dan memimpin parti kita sendiri.

12. UMNO telah melalui badai politik yang paling getir. Kita pernah melihat bagaimana perbezaan pandangan, jika tidak diurus dengan hikmah, akhirnya melahirkan perpecahan dan meninggalkan luka yang panjang dalam sejarah perjuangan kita.

13. Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ketika lawan sedang bertelagah, ketika musuh sibuk bertelingkah, kenapa UMNO pula yang perlu terbelah… Hakikatnya, kita mampu berdiri kerana satu kekuatan utama, keupayaan kita untuk kekal berpadu di bawah kepimpinan Presiden dan institusi parti. Kesetiaan inilah yang menjadi benteng senyap, memastikan perjuangan kita terus hidup dan dihormati.

14. Soalnya sekarang ialah sama ada kita mahu terus memelihara benteng ini, atau kita sendiri yang membuka ruang kepada suara-suara luar untuk mengganggu pertimbangan dan melemahkan kesatuan yang telah kita bina bersama. Ingatlah, “Berselisih di tangga boleh ditegur, bersimpang di jalan membawa sesat.”

JASA-JASA MENTERI UMNO

15. Mutakhir ini, ada pihak yang menebarkan naratif songsang kononnya Islam terancam dan Melayu dihina. Sedangkan para pemimpin kitalah yang konsisten membentengi asas-asas perjuangan agama Islam, bangsa Melayu, kedudukan Istimewa Bumiputera dan kebesaran Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dan dipersetujui secara bertulis sewaktu membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia ini.

16. Lihatlah satu persatu hasilnya:
 Kita mulakan di Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, berjaya melonjakkan pelaburan domestik dan asing serta memposisikan Melaka sebagai destinasi utama Tahun Melawat Malaysia 2026. Mana lagi???

 Di Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, berjaya memacu Johor sebagai negeri peneraju pelaburan negara apabila merekodkan nilai pelaburan tertinggi melebihi RM91.1 bilion sepanjang tahun 2025. Menggagaskan ‘Program Semarak Subuh’.

 Di Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad, berjaya memperkukuhkan syiar Islam dan pada masa yang sama mengurus kewangan negeri dengan cermat daripada defisit RM78 juta kepada lebihan pendapatan tertinggi sebanyak RM85 juta pada tahun 2025. Isu Pajakan tanah 999 tahun.

 Dalam hal kedaulatan negara, YB Dato’ Seri Azalina Othman Said berjaya mempertahankan hak dan kedaulatan Malaysia terhadap Sabah di peringkat antarabangsa.

 Manakala, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pula memperkasakan universiti-universiti awam negara sebagai pilihan utama pelajar-pelajar tempatan dan antarabangsa.

 Dalam usaha mempertahankan hak Melayu bandar, YB Dato’ Seri Johari Abdul Ghani tampil tegas menolak cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang menjejaskan kedudukan Melayu, sehingga cadangan itu ditarik semula.

 Seterusnya, YB Dato’ Seri Khaled Nordin menambah baik meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara dan kesejahteraan warga ATM serta keluarga.

 Di Pahang, YAB Dato’ Seri Diraja Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail, kecemerlangan pentadbiran negeri berjaya mengutip hasil melebihi RM1 bilion selama 4 tahun berturut-turut. Belanjawan Pahang 2026 meletakkan agenda Pahang First, Teras Pertama: Memartabatkan Agama Islam, Memelihara Institusi Diraja dan Mengangkat Warisan Budaya.

 Manakala, YB Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mengemudi Wisma Putra khusus dalam penganjuran dua sidang kemuncak ASEAN yang meletakkan Malaysia sebagai pemain diplomasi yang disegani di rantau ini.

 Dan di tengah semua ini, jangan kita lupa jasa besar Presiden UMNO, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dalam meletakkan UMNO sebagai parti teras dan paling berpengalaman dalam Kerajaan Perpaduan melalui Dasar TVET Negara dan TVET Huffaz, program Pra-Tahfiz KEMAS yang kini menyentuh 123,435 huffaz cilik di 8,229 TABIKA, Dasar Tahfiz Negara, agenda Halal Nasional, serta pembangunan luar bandar dan wilayah yang membuka laluan masa depan kepada jutaan rakyat. Inilah pelaburan strategik UMNO untuk anak-anak dan cucu-cicit kita.

18. Dalam kebingitan politik hari ini, janganlah kita menjadi penari dalam irama yang dimainkan oleh orang lain. Biarlah mereka memukul gendang mereka sendiri kerana UMNO punya lagu dan nada yang jauh lebih besar maknanya.
Nyanyikanlah kepada rakyat kerja buat kita.
Dendangkanlah kepada semua pencapaian kita,
Dan, pastikanlah rentak kita tidak lain hanyalah demi masa depan agama, bangsa dan negara.

RUMUSAN DAN HARAPAN

Tuan-tuan dan puan-puan, sidang perwakilan sekalian,

19. Justeru, gunakanlah ruang Perhimpunan Agung ini untuk berbahas dengan matang, berhujah dengan berhemah dan berbeza dengan beradab. Tetapi selepas segala pandangan disuarakan di dewan ini, kita mesti keluar sebagai satu saf UMNO, bersatu pada keputusan, dan berdisiplin dalam tindakan.

20. Dengan izin Allah SWT, selagi kita berpaut kepada akar perjuangan yang satu, UMNO akan kekal sebagai perisai rakyat. Perjuangan ini tidak bermula dengan kita dan tidak akan berakhir dengan kita. Sejarah belum menutup bukunya dan UMNO belum melipat benderanya.
Tatkala bahtera dilanda badai,
Jangan sampai layarnya patah,
Pastikan emosi tidak terbuai,
Bimbang kemudi tersasar arah..

Setia nakhoda menuju arah,
Membelah samudera biarlah sampai,
Taatkan ketua kukuhkan Jemaah,
InsyaAllah… Kejayaan wadah pasti tercapai..

Maka dengan penuh hormat, saya mempersilakan Pengerusi Tetap UMNO, YBhg. Tan Sri Dato’ Paduka Haji Badruddin Amiruldin untuk mengambil tempat bagi memulakan persidangan.

Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO