Puteri Perak Bangkit Naratif Pilihan Raya, Wakil Kedah Ketengah Isu Pemerkasaan Wanita
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Wakil Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perak, Siti Fairus Othman bertekad untuk mempertahankan warisan perjuangan UMNO, tetapi memastikan kelangsungan dan kekuatan parti untuk sedekad akan datang, khususnya dalam mendepani cabaran terbesar iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Jelasnya, landskap politik semasa menuntut perubahan yang lebih segar dengan kehendak pengundi masa kini terutamanya golongan muda.
“Pilihan raya akan datang tidak lagi dimenangi semata-mata dengan kekuatan jentera dan gerak kerja tradisi. Ia dimenangi melalui naratif yang diyakini, kepercayaan yang dibina secara konsisten, pengaruh digital yang berkesan, serta keupayaan untuk menembusi pemikiran pengundi muda.
“Medan politik yang hadapi sekarang ini bukan lagi medan yang sama seperti dahulu. Pengundi telah berubah, cara mereka menilai kepimpinan telah berubah. Cara mereka membuat keputusan juga telah berubah dan jika kita tidak memilih untuk tidak berubah bersama mereka, maka parti akan sekadar menjadi sebahagian dari catatan sejarah.
“Bersandarkan kepada kesedaran inilah UMNO seharusnya meletakkan pengiktirafan sesuai dengan peranan Puteri UMNO dan bukan lagi sekadar beranggapan bahawa sayap ini adalah pelengkap organisasi,” beliau berkata demikian ketika membahas sempena Persidangan Puteri UMNO di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shafie Abdullah; Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta perwakilan Puteri UMNO.
Sementara itu bagi pembahas Puteri UMNO dari Negeri Kedah, Shazwin Ishak mendesak agar kerajaan negeri dan Persekutuan mesti menterjemahkan fokus utama pemerkasaan wanita ke dalam dasar tempatan.
Katanya, antara fokus utama yang perlu diberi perhatian serius ialah pengangkatan sektor ekonomi penjagaan atau ‘care economy’ sebagai pemacu penting kepada pembangunan ekonomi negeri.
“Mengangkat sektor ekonomi penjagaan (Care Economy). Puteri UMNO Kedah mendesak supaya setiap zon industri diwajibkan menyediakan Pusat Jagaan Kanak-Kanak (Childcare) yang bersubsidi. Ingat, ini bukan kemewahan, ini keperluan ekonomi. Jika wanita boleh bekerja dengan tenang, produktiviti meningkat, ekonomi negeri juga akan berkembang.
“Mewujudkan segera “’Program Kedah Women Economic Empowerment’. Kita mahu satu program khusus, berstruktur dan bervisi untuk wanita Kedah. Bukan program ‘picisan’ bagi bantuan sekali beri (one-off), tetapi program yang melahirkan usahawan wanita berdaya saing dari kampung sampai ke bandar.
“Kerajaan negeri wajib menyambut dasar wanita negara untuk mencapai sasaran 60 peratus penyertaan wanita dalam tenaga kerja. Gunakan kuasa negeri untuk pastikan anak gadis masuk ke TVET. Pastikan wanita dalam sektor gig dilindungi KWSP dan PERKESO. Pastikan GLC negeri membuka pintu seluas-luasnya untuk wanita duduk di kerusi pembuat keputusan,” tegasnya.
Ujarnya, pemerkasaan wanita tidak seharusnya terhenti pada slogan atau retorik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui dasar yang berani, menyeluruh dan berpaksikan realiti kehidupan wanita masa kini. – UMNO Online
